Lelaki ditemukan mati selepas pukul anak saudara hingga parah - Utusan Malaysia

Lelaki ditemukan mati selepas pukul anak saudara hingga parah

KEADAAN kanak-kanak berusia lapan tahun yang parah selepas dipukul bapa saudaranya menggunakan tukul di Jelawat, Bachok, Kelantan petang tadi-IHSAN POLIS.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BACHOK: Seorang lelaki ditemukan mati apabila bertindak menggantung dirinya pada sebatang pokok ru selepas memukul anak saudaranya hingga parah dengan sebatang tukul dalam kejadian di sebuah rumah kedai di Jelawat di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.15 petang itu, suspek yang berusia 46 tahun menggantung dirinya pada sebatang pokok ru di Pantai Melawi di sini selepas melakukan perbuatan tersebut.

Difahamkan, kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun berada dalam keadaan kritikal.

Timbalan Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohd. Azrie Sulaiman berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan seorang kanak-kanak cedera akibat dipukul.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, kejadian berlaku di sebuah rumah kedai yang merupakan tempat tinggal suspek.

“Suspek dipercayai memukul bahagian kepala anak saudaranya yang berusia tujuh tahun dengan tukul.

“Mangsa yang kritikal dihantar ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian dekat sini untuk menerima rawatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd. Azrie memberitahu, siasatan mendapati, suspek kemudian dijumpai dalam keadaan tergantung pada sebatang pokok ru di Pantai Melawi dekat sini iaitu kira-kira enam kilometer dari lokasi kejadian.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti punca kejadian-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN