MELAKA: Lebih 3,000 penari zapin menggegarkan Encore Melaka malam tadi apabila negeri bersejarah ini berjaya mencipta rekod baharu dengan persembahan zapin seribu yang disertai 3,224 peserta secara serentak.
Detik penuh bersejarah itu diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) yang menyerahkan sijil kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab. Rauf Yusoh, disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta delegasi pelancongan dunia yang hadir bersempena sambutan Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025.
Persembahan zapin berirama empat lagu tradisional itu berlangsung selama kira-kira 20 minit, cukup untuk membuat ribuan penonton bangun bersorak.
Gimik perasmian selepas itu lebih memukau apabila 1,000 dron diterbangkan, membentuk pelbagai formasi pelancongan termasuk logo rasmi Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Tidak lengkap acara gilang-gemilang tanpa sentuhan seni budaya apabila ia turut dimeriahkan dengan persembahan Datuk Seri Siti Nurhaliza, Misha Omar serta nyanyian lagu ikonik Senandung Anak Melaka yang membuat hadirin bangga dan terharu.
Bertemakan ‘Pelancongan dan Transformasi Mampan’, WTD 2025 menyasarkan kehadiran 16.5 juta pelancong dengan unjuran hasil mencecah RM23.48 bilion bagi tahun 2025, sekali gus mengukuhkan kedudukan Melaka sebagai hab pelancongan serantau.
Sepanjang karnival, lebih 200 program sampingan dianjurkan termasuk Pesta Konda-Kondi, Karnival Usahawan, Pesta Layang-Layang Antarabangsa, Visit Malaysia Travel Meet dan bengkel kraftangan.
Majlis penuh warna-warni itu turut diserikan kehadiran Yang DiPertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta delegasi dari 159 buah negara. – UTUSAN