ROM: Datuk Bandar Rom mengarahkan seorang wanita menghentikan aktiviti memberi makan puluhan burung merpati di sebuah blok apartmen di 108 Via Spartaco, selepas penduduk mengadu rumah mereka dipenuhi bulu dan najis.
Wanita itu, dikenali sebagai ‘The Pigeon Lady’, memberikan makanan kepada kawanan burung yang berterusan mengganggu penduduk blok tersebut.
Setelah berpuluh-puluh aduan diterima daripada penduduk yang kecewa dengan lapisan tebal najis burung menutupi ruang dalam bangunan dan kawasan awam termasuk kenderaan diparkir, pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan mengeluarkan larangan memberi makan haiwan tersebut.
Bagaimanapun, aktivis hak haiwan dari Liga Perlindungan Burung Itali itu menegaskan tindakannya sekadar untuk menyelamatkan burung merpati, bukan sebagai hobi.
Dia turut memberi jaminan akan membersihkan kotoran burung bagi pihak penduduk.
“Saya akan membersihkannya, untuk diri saya sendiri, untuk penduduk di sini dan burung merpati malang yang sebenarnya mangsa sebenar.
“Sementara itu, saya juga berhenti meletakkan makanan dan berharap mereka tidak ke sini kerana ia sering dilanggar,” katanya.
Penduduk berhampiran beberapa kali merakam wanita terbabit dipercayai memberi makan burung, meletakkan makanan di tepi tingkapnya.
“Burung merpati itu terus membiak dan bertelur, jalan raya dan kaki lima dipenuhi najis, begitu juga kenderaan yang diparkir dan balkoni rumah. Baunya juga menyengat,” kata seorang penduduk kepada Roma Today.
Setiap usaha untuk memujuk wanita itu menghentikan aktiviti tersebut gagal, walaupun terdapat undang-undang bandar yang jelas melarang pemberian makanan burung secara berterusan di mana-mana sahaja di Rom.- AGENSI










