Kerajaan Persekutuan, Sabah perlu terus erat demi rakyat

Kerajaan Persekutuan, Sabah perlu terus erat demi rakyat

ANWAR Ibrahim hadir pada Program Rapat Umum PKR di Kampung Merotai Besar, Tawau, Sabah malam ini.-UTUSAN/BESSE AISYAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAWAU: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan negeri Sabah demi memastikan kesejahteraan rakyat dapat dijamin.

Perdana Menteri berkata, perjuangan politik harus didasari semangat membela rakyat, bukan perbalahan kaum atau wilayah.

“Yang penting jangan bermusuh, Melayu lawan Cina, Dusun lawan Kadazan, Cina lawan India, atau Sabah lawan Semenanjung. Kita pilih orang baik sama ada dari Sabah atau Semenanjung supaya kerajaan negeri dan Persekutuan dapat berpakat menjaga rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Rapat Umum PKR di Kampung Merotai Besar di sini.

Yang hadir sama, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ahli Parlimen Tawau, Datuk Loh Su Fui.

Perdana Menteri dalam pada itu berkata, kerajaan Persekutuan juga mengambil kira realiti di Sabah dan Sarawak dalam membuat keputusan berhubung dasar.

Ia termasuk tidak menaikkan harga diesel di kedua-dua negeri walaupun berlaku pelarasan harga di Semenanjung.

“Saya tahu keadaan kampung yang susah, jadi saya mahu beri peluang dulu kepada Sabah dan Sarawak,” katanya.

Anwar turut menyentuh pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang terus diberi perhatian, termasuk isu bekalan air, projek tebatan banjir yang dijangka siap pada 2028, serta agihan peruntukan pembangunan.

Beliau pada masa sama memperkenalkan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Ruji Ubi, sebagai watak penting yang kini diberi amanah untuk kembali berkhidmat kepada negeri kelahirannya.

“Saya kata sampai masanya Ruji balik kampung dan jaga orang kampung,” kata Anwar disambut tepukan para hadirin.

Sebelum ini, Ruji disebut-sebut antara calon PKR yang berpotensi diketengahkan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merotai yang kini disandang oleh Sarifuddin Hatta dari parti Warisan.

Mengulas mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijangka diadakan selewat-lewatnya November ini, Anwar menegaskan bahawa pemilihan wakil rakyat seharusnya berlandaskan kemampuan calon memperjuangkan aspirasi rakyat di peringkat akar umbi.

“Kalau wakil itu dari Merotai, dia mesti ada semangat cinta kepada orang Merotai, tapi juga mewakili semangat rakyat Sabah dan Malaysia seluruhnya. Kita mahu Malaysia berjaya sebagai negara hebat di rantau ini,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN