KOTA BHARU: Persatuan Sukan Orang Pekak Negeri Kelantan (KelSDeaf) memerlukan dana sebanyak RM110,000 untuk menyertai kejohanan Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) pada 1 hingga 7 Oktober depan di Sarawak.
Presidennya Saiful Helmie Dzamani berkata, jumlah itu bagi menampung keperluan 40 atlet termasuk pegawai sepanjang kejohanan tersebut.
“Situasi kami sekarang ini memang sangat terdesak kerana kami hanya ada masa sebulan untuk membuat persiapan sebelum SOPMA membuka tirai. Jadi besar harapan kami agar kerajaan negeri, Majlis Sukan Negeri (MSN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dapat memberi sokongan sebagaimana diberikan kepada atlet-atlet para serta normal.
“Kita terpaksa menolak penyertaan dalam banyak acara disebabkan masalah dana kewangan. Sasaran kita hanya mempertahankan pingat emas sukan futsal dan acara lain sama ada perak atau gangsa.
“Atlet kita akan bertanding dalam empat daripada keseluruhan enam acara sukan, iaitu futsal, badminton, tenpin bowling dan orienteering,” katanya dengan dibantu jurubahasa isyarat yang juga Penolong Setiausaha Agung Persatuan Orang Pekak Malaysia (MSDEAF), Mohamad Nazrul Azwa Zulkipply pada sidang media di sini hari ini.
Saiful Helmie memberitahu, perhatian serta bantuan daripada kesemua pihak terbabit sangat penting bagi membantu perkembangan sukan komuniti orang pekak di Kelantan.
Katanya, pengalaman dilalui KelSDeaf bersama atlet-atlet orang pekak menyebabkan mereka merasakan seolah-olah komuniti orang pekak dianaktirikan di negeri ini apabila terpaksa menjalani latihan dan membuat persediaan atas inisiatif serta perbelanjaan dari poket sendiri.
“Kami mohon kepada kerajaan negeri, MSN dan JBS agar janganlah mendiskriminasi, bersikap tidak ambil kisah atau acuh tidak acuh terhadap komuniti orang pekak di negeri ini.
“Kami masih rakyat Kelantan dan berjuang di pentas sukan negeri, kebangsaan dan antarabangsa dengan membawa nama Kelantan dan Malaysia,” ujarnya.-UTUSAN