GAZA: Penderitaan rakyat Palestin semakin meruncing apabila lebih dua juta orang kini dipaksa berhimpit dalam kawasan merangkumi 13 peratus daripada keseluruhan wilayah itu, yang ditetapkan Israel sebagai ‘zon kemanusiaan’.
Tentera Israel mengarahkan ratusan ribu penduduk di Gaza City berpindah ke al-Mawasi, selatan Gaza berhampiran Khan Younis, dengan menjamin akan ada perkhidmatan lebih baik di sana.
Malangnya, mereka yang menempuh perjalanan sukar selama berjam-jam dan terpaksa membayar ratusan dolar untuk pengangkutan, mendakwa berdepan kesukaran mendapatkan makanan serta tempat tinggal.
Jurucakap Pejabat Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA), Olga Cherevko, berkata situasi di Gaza khususnya di al-Mawasi semakin meruncing dari hari ke hari.
“Ia semakin padat, dan mereka yang datang dari utara terpaksa duduk di tepi jalan tanpa tahu mana harus dituju,” katanya selepas melawat al-Mawasi.
Imej satelit menunjukkan al-Mawasi, dipenuhi khemah perlindungan yang dipasang rapat dan semakin berkembang sejak pertengahan Ogos apabila Israel mengumumkan operasi baharu untuk menawan Gaza City, yang dianggap kubu terakhir Hamas.
“Semua orang mencari tempat selamat. Anda patut lihat bagaimana khemah-khemah dipasang rapat, tiada ruang langsung di antaranya. Demi Tuhan, ini penderitaan sebenar.
“Di mana sistem kumbahan dan sanitasi? Kami minta bekalan air bersih, tetapi semuanya sia-sia,” kata seorang rakyat Palestin, Mohammed Ismail kepada BBC.
Sejak Ogos lalu, kawasan yang digelar ‘zon kemanusiaan’ itu diperluas sehingga merangkumi utara dan barat Khan Younis.
Walaupun terdapat dapur komuniti, pusat agihan air dan klinik lapangan beroperasi, agensi bantuan berkata mereka bergelut untuk menampung permintaan yang semakin meningkat.
“Keluarga sedang melarikan diri dari satu neraka hanya untuk berakhir di neraka yang lain,” kata wakil Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF), Tessa Ingram kepada BBC.
Israel mendakwa sudah menyalurkan khemah, bekalan air dan membenarkan lori makanan masuk, namun agensi bantuan PBB menegaskan sekatan ketat masih menyebabkan barangan asas tidak mencukupi.
Malah, beberapa makanan asas kini diklasifikasikan sebagai ‘barangan mewah’ dan dihalang masuk.










