ICOHOPE 2025 buka peluang kerjasama dengan pementeraian LOI pelbagai bidang - Utusan Malaysia

ICOHOPE 2025 buka peluang kerjasama dengan pementeraian LOI pelbagai bidang

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (belakang, tiga dari kiri) berkenan menyaksikan Majlis Menandatangani LOI yang berlangsung di Hotel Grand Mecure, Medan, Indonesia. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEDAN, INDONESIA: International Conference on Holistic Opportunities for Poverty Empowerment (ICOHOPE) 2025 membuka ruang dan peluang bagi memperkasa kerjasama serantau khususnya menerusi pementerian surat hasrat (LOI) dalam beberapa bidang.

Majlis pementerian LOI itu yang berlangsung di Hotel Grand Mecure, di sini, turut disaksikan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

LOI tersebut telah ditandatangani oleh Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE), Universitas Deztron Indonesia (UDI) bersama Pemerintah Kabupaten Tanjungbalai, Batu Bara dan Toba.

Kolaborasi strategik dijalinkan ini akan memberi penumpuan kepada agenda pemerkasaan kerjasama serantau merangkumi bidang perkhidmatan dan perbandaran, perancangan pembangunan dan bandar pintar, ekonomi, perniagaan dan pelancongan, pendidikan, kebudayaan dan alam sekitar serta teknologi maklumat dan inovasi.

ICOHOPE 2025 menghimpunkan para peserta daripada empat buah negara membabitkan Malaysia, Indonesia, Thailand dan Bangladesh sekali gus menegaskan peranannya sebagai platform penting dalam memperkukuh agenda global berkaitan pemerkasaan peluang holistik bagi membasmi kemiskinan.

Sementara itu, Yang Dipertua MPK, Affendi Rajini Kanth berkata, LOI tersebut dapat membuka ruang dan peluang buat semua pihak terlibat untuk melihat peluang yang lebih jelas dalam kolaborasi selepas ini.

“Matlamatnya adalah kita nak lihat daripada segi hubungan antara negara malah ini juga turut termaktub di bawah usahasama Pertumbuhan Segi Tiga Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT),” katanya.

Sementara itu, Pengerusi FCoEE, Prof Emeritus Datuk Ts. Dr. Kamarudin Hussin berkata, ICOHOPE 2025 merupakan persidangan yang memfokuskan kepada usaha pembangunan asnaf dan kajian-kajian berimpak daripada kebanyakan universiti di Malaysia.

Menurut beliau, LOI yang ditandatangani itu juga merupakan inisiatif bagi kerjasama melibatkan majlis-majlis perbandaran di Medan bersama MPK dengan menjadikan pendidikan sebagai satu konsep untuk memfokuskan kepada bidang-bidang terlibat.

“Langkah ini merupakan usaha untuk membuka kerjasama lebih luas khususnya membolehkan Malaysia untuk tampil hebat dalam agenda membasmi kemiskinan,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN