KANGAR: Ibarat pesta dan ‘perayaan’ bagi penduduk di Kuala Perlis di sini yang meraikan penganjuran Pesta Air Antarabangsa Kuala Perlis 2025 yang turut dibanjiri puluhan ribu pengunjung dari dalam luar negara.
Orang ramai yang mengambil kesempatan bersempena cuti hujung minggu dan Hari Malaysia hadir menyaksikan pesta tradisi Kuala Perlis itu.
Mereka juga cukup teruja menyaksikan para peserta dari 15 buah perkampungan nelayan Kuala Perlis berlumba dalam pertandingan perahu panjang atau tradisional itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Abu Bakar Hamzah berkata, seperti kelaziman, pertandingan perahu panjang sememangnya amat dinanti-nantikan oleh pengunjung Pesta Air Kuala Perlis memandangkan ia merupakan sukan tradisi yang wujud sejak tahun 1961.
Katanya, Pesta Air Kuala Perlis menjadi salah satu daya penarik pelancong dari dalam dan luar.
“Kebanyakan pengunjung teruja melihat kemeriahan perlumbaan perahu tradisional yang menjadi satu aset tradisi negeri ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Abu Bakar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis berkata, lebih 50,000 pengunjung dari dalam dan luar negara dijangka hadir sepanjang lima hari Pesta Air Antarabangsa Kuala Perlis 2025.
Katanya, bagi pertandingan perahu panjang tradisional kategori P14, sejumlah 600 penyertaan melibatkan 15 buah kampung manakala kategori lain turut menyaksikan penglibatan memberasangkan.
“Setiap kampung akan menyediakan pasukan masing-masing untuk berentap dan penduduk juga turut keluar beramai-ramai bagi memberi sokongan kepada kampung mereka.
Selain dapat melihat kemeriahan acara disediakan, pesta tersebut turut memberi limpahan ekonomi khususnya buat penduduk setempat di mana kedai-kedai makan juga dipenuhi pengunjung,” katanya.
Dalam pada itu, Abu Bakar berkata, pertandingan perahu naga yang akan berlangsung melibatkan peserta dari seluruh dunia juga bakal menarik lebih ramai pengunjung bagi melihat keunikan acara tersebut.
Katanya, pemenang bagi setiap kategori akan menerima wang tunai sebanyak RM5,000.-UTUSAN.









