HONG KONG: Pihak berkuasa Hong Kong memindahkan kira-kira 6,000 penduduk selepas sebuah bom tinggalan Perang Dunia Kedua seberat 450 kilogram (kg) ditemui di sebuah tapak pembinaan di Quarry Bay.
Polis berkata, bom berukuran 1.5 meter itu dipercayai masih berfungsi sepenuhnya, dan risiko tinggi kerja nyahaktif memaksa pelaksanaan pelan pemindahan kecemasan.
Komander Daerah Polis Hong Kong, Andy Chan berkata, penduduk daripada 18 bangunan kediaman dipindahkan pada malam Jumaat, sementara kerja nyahaktif dijangka bermula awal pagi Sabtu.
“Disebabkan risiko yang amat tinggi dalam kerja-kerja nyahaktif dan pelupusan bom ini, kami perlu mengaktifkan pelan pemindahan kecemasan,” katanya.
Hong Kong pernah menjadi sasaran awal Jepun semasa Perang Dunia Kedua, dan bom yang tidak meletup masih sesekali ditemukan oleh pendaki dan pekerja pembinaan.
Pada Mei 2018, sebuah bom turut ditemui di daerah Wan Chai, yang memaksa 1,200 penduduk berpindah.
Polis mengesahkan bahan letupan yang ditemukan pada Jumaat adalah daripada jenis sama seperti bom pada 2018.
Ketika itu, proses nyahaktif bahan letupan tersebut mengambil masa kira-kira 20 jam.-AGENSI










