SERDANG: Umat Islam seharusnya agar menghentikan perbalahan sesama sendiri dan meniup sentimen kebencian atas nama agama serta mengapi-apikan berita fitnah sehingga memecah-belahkan keluarga serta masyarakat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, umat Islam sebaliknya perlu menguasai ilmu dan teknologi, mengeratkan perpaduan serta menjadi pendamai bagi membangunkan gagasan Malaysia Madani.
Katanya, perbalahan dan tindakan yang memecah belah tidak membawa apa-apa kebaikan, sebaliknya hanya akan menggugat keharmonian negara yang baru saja menyambut Hari Kebangsaan.
“Dengan penuh tekad keazaman, marilah bersama-sama memperkukuh penguasaan ilmu dan teknologi, merapatkan saf perpaduan, menjadi pendamai yang menyuburkan keharmonian, sekali gus membangunkan gagasan Malaysia Madani.
“Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, kerjasama erat bersama pihak berkuasa agama Islam negeri-negeri akan terus diperkasa untuk memastikan program penghayatan Islam benar-benar berkesan bagi menangani isu sosial dan kemasyarakatan,” katanya dalam sembah ucapan pada majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan Tahun 1447H/2025M di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), semalam.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke majlis berkenaan.
Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Lebih 6,000 peserta daripada 119 kontinjen pelbagai agensi kerajaan, pasukan beruniform, institusi pengajian tinggi serta sektor swasta menyerikan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan di MAEPS, Serdang semalam.
Peserta mula berkumpul di perkarangan MAEPS bagi menyertai perarakan yang bermula kira-kira 7.40 pagi.
Mohd. Na’im berkata, perarakan besar-besaran itu menjadi bukti kecintaan umat Islam terhadap Nabi Muhammad SAW dan penghayatan sirah perjuangan Rasulullah.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua peserta dan ketua agensi yang hadir, sambil menegaskan semangat berselawat dan ukhuwah dalam kalangan peserta mampu memperkukuh penghayatan tema tahun ini, ‘Membangun Ummah Madani’. – UTUSAN










