Harimau ‘mengamuk’ baham singa di Kangar - Utusan Malaysia

Harimau ‘mengamuk’ baham singa di Kangar

AKSI pemain JDT II dan Perlis GSA FC dalam saingan Liga A1 Semi Pro di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar, Perlis malam tadi.-UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Ibarat harimau terluka, Johor Darul Ta’zim (JDT) II yang tewas mengejut kepada Seoul Phoenix FC sebelum ini, bangkit membenam Perlis Guar Syed Alwi (GSA FC) 4-0 dalam aksi Liga A1 Semi Pro di Stadium Tuanku Syed Putra di sini malam tadi.

JDT II tidak menunggu lama apabila mendahului Perlis seawal minit ke-9 menerusi jaringan Syukur Faris yang menyudahkan hantaran Muhammad Alif Abd. Mutalib dari sebelah kanan padang.

Selang tujuh minit kemudian, JDT II menambah jaringan hasil rembatan deras dalam kotak penalti oleh Ziad El Basheer yang gagal diselamatkan penjaga gol, Kamarul Hilmi Adenan.

JDT II meneruskan pesta gol, apabila berjaya menambah jaringan ketiga pada minit ke-32 hasil lipatan gunting cantik oleh Jean Franco Casquete Granja di dalam kotak penalti.

Kualiti permainan dan faktor pengalaman jauh berbeza antara JDT dan Perlis menyaksikan skuad Harimau Selatan itu terus menguasai permainan dengan beberapa lagi serangan bahaya namun gagal menambah jaringan bagi menutup babak pertama dengan kedudukan 3-0.

PARA pemain JDT II meraikan jaringan dalam aksi menentang Perlis GSA FC yang menyaksikan Harimau Selatan itu menang 4-0 dalam dalam saingan Liga A1 Semi Pro di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar, Perlis malam tadi.-UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN

Perlis GSA berpeluang bangkit pada babak awal permainan separuh masa kedua, namun gagal memanfaatkan peluang apabila Mohammad Faizal Kadir gagal menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-50.

Ketika Singa Utara cuba bangkit dan berusaha mencari gol semangat, JDT II terus menghukum kelpaan Perlis apabila memperolehi jaringan keempat hasil tandukan Muhammad Shafizan Mohamad Arshad yang datang dari arah belakang menyempurnakan hantaran cantik Muhammad Alif pada minit ke-57.

Meskipun berjaya mencipta beberapa peluang namun Perlis GSA gagal mencari gol saguhati yang menyaksikan kedudukan 4-0 itu kekal sehingga tamat perlawanan.

Kemenangan bergaya itu menyaksikan JDT II naik ke tangga ketujuh liga selepas memungut enam mata hasil tiga perlawanan, manakala Perlis GSA yang kekal dengan empat mata di kedudukan ke-10 hasil empat perlawanan setakat ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN