GUA MUSANG: Kemahiran asas dan teknik solekan menjadikan gadis serta suri rumah Orang Asli tampil lebih yakin berdepan masyarakat luar.
Seorang suri rumah dari Pos Balar di sini, Maimun Abus, 27, berkata, kursus berkaitan solekan memberi lembaran baharu buat mereka supaya tampil lebih yakin walaupun berada di kawasan pedalaman.
“Sebelum ini kami tidak terdedah dengan pentingnya menjaga penampilan. Melalui program ini kami menjadi lebih yakin berdepan dengan masyarakat luar.
“Jika mahu keluar ke bandar sebelum ini, kami hanya mengenakan solekan ringkas dan berbedak, program ini sangat bermanfaat,” katanya selepas menyertai program solekan secara percuma anjuran Puteri UMNO Bahagian Gua Musang di Pos Balar, semalam.
Sarimah Anjang, 40, pula berkata, kebiasaannya dia tidak mengenakan solekan sekiranya mahu keluar melakukan urusan di bandar.
Katanya, selepas menyertai kelas berkenaan barulah dia mengetahui kepentingan berhias serta menjaga penampilan diri serta kebersihan diri.
Sementara itu, Ketua Puteri UMNO Bahagian Gua Musang, Nur Ain Natassya Mohd. Napi berkata, pihaknya mengadakan bimbingan solekan harian kepada lebih 500 wanita Orang Asli setakat ini.-UTUSAN.










