SEREMBAN: Penganjuran FAMA Fest 2025 mampu melepasi sasaran nilai jualan ditetapkan iaitu sebanyak RM7.7 juta.
Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Abdul Rashid Bahri berkata, selepas jelajah lima lokasi sebelum ini telah mencapai nilai jualan RM5.3 juta melibatkan penyertaan 383 usahawan.
“Penganjuran di Negeri Sembilan pula yang berlangsung tiga hari sehingga 28 September (hari ini) dijangka mencatat nilai jualan RM400,000 dengan penyertaan 64 usahawan daripada pelbagai segmen industri asas tani.
“Dengan penyertaan usahawan yang lebih ramai, saya yakin jumlah keseluruhan keenam lokasi jelajah mampu mencecah RM8 juta sekali gus melepasi sasaran RM7.7 juta,” katanya kepada pemberita.
Beliau ditemui pada program FAMA Fest 2025 @ Negeri Sembilan di Nilai di sini semalam yang dirasmikan Exco Kanan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias.
Beliau berkata, pencapaian itu membuktikan FAMA Fest terus menjadi ruang merancakkan ekonomi setempat, meningkatkan pendapatan usahawan serta memupuk kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menyokong produk tempatan.
Menurutnya, FAMA bercadang memperluas penganjuran ke seluruh negara berbanding enam negeri ketika ini, namun ia bergantung kepada kelulusan tambahan peruntukan Kementerian Kewangan.
“Jika diluluskan, FAMA akan mengadakan kempen besar-besaran termasuk promosi makan buah-buahan tempatan yang digabungkan bersama jualan FAMA Fest,” katanya.-UTUSAN.










