UTAH: Pihak berkuasa di Utah menahan dua lelaki yang disyaki meletakkan peranti letupan di bawah kenderaan media di Salt Lake City, namun bom tersebut gagal meletup.
Skuad pemusnah bom polis dan bomba bergegas ke lokasi selepas satu objek mencurigakan ditemui di bawah kenderaan yang diparkir berhampiran sebuah bangunan berpenghuni pada Jumaat lalu.
Menurut rekod mahkamah yang dipetik stesen KUTV, hasil siasatan mendapati bom itu dihidupkan tetapi gagal berfungsi seperti sepatutnya.
Biro Siasatan Persekutuan (FBI) mengenal pasti dua suspek dan melaksanakan waran geledah di sebuah rumah di Magna, barat pusat bandar Salt Lake City.
Susulan itu, dua lelaki berusia 58 dan 31 tahun ditahan dan berdepan tuduhan berkaitan pemilikan senjata serta ancaman keganasan, lapor KTVX.
Ketika operasi itu, penduduk rumah berhampiran turut dipindahkan sebelum polis menemukan bahan letupan, komponen berkaitan bom, senjata api, dadah terlarang dan beberapa peralatan lain.
Rekod mahkamah turut mendedahkan penemuan sekurang-kurangnya dua peranti yang disahkan sebagai senjata pemusnah besar-besaran palsu.
Setakat ini, motif serangan belum dikenal pasti dan hubungan antara kedua-dua suspek masih tidak diketahui.
Kehadiran media antarabangsa di Salt Lake City semakin meningkat sejak pembunuhan pengasas bersama Turning Point USA, Charlie Kirk, minggu lalu. -AGENSI










