BESUT: Usaha seorang guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) menjual kuih mochi membawa pulangan lumayan apabila dia meraih jualan RM1,000 hanya dalam tempoh dua jam berniaga.
Nurul Husna Amalina Mohd. Shaari, 33, berkata, idea untuk berniaga pencuci mulut itu tercetus apabila dia mahu mengisi masa lapang di samping memperoleh sumber pendapatan sampingan.
“Sebagai guru KAFA saya bekerja tiga hari seminggu dan sejak dua bulan lalu saya mula buka gerai di Pantai Bukit Keluang.
“Alhamdulillah, usaha membuahkan hasil apabila kuih mochi ini mendapat permintaan yang tinggi meskipun hanya dijual dua kali seminggu. Saya mampu memperoleh RM1,000 dalam masa dua jam berniaga,” katanya ketika ditemui.
Kuih mochi ialah sejenis makanan Jepun yang popular di Malaysia, diperbuat daripada tepung beras pulut yang dikukus dan mempunyai inti manis seperti kacang merah.
Lazimnya mochi dijual secara siap bungkus namun Nurul Husna Amalina membuat pembaharuan apabila menghasilkannya secara terus mengikut permintaan pelanggan dengan saiz lebih besar.
Katanya, dia menjual sembilan jenis perisa mochi yang dijual secara bergilir-gilir setiap minggu antaranya perisa strawberi, mangga, beri biru, biscoff, pistachio, oreo, keju dan tiramisu.-UTUSAN.










