SHAH ALAM: Ilmuwan Islam, Prof.Adjung Dr. Othman Hamzah dinobatkan sebagai Tokoh Maulidur Rasul Tahun 1447 Hijrah Selangor, hari ini.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang berkenan hadir menyampaikan sijil penghargaan, trofi dan hadiah tunai sebanyak RM20,000 selepas menyempurnakan sambutan majlis tersebut.
Othman, 60, yang juga bekas Imam Besar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah berkata, anugerah disifatkan sebagai manifestasi terhadap usaha-usaha beliau menaikkan martabat pendidikan Islam diiktiraf dan dihargai.
“Saya bersyukur usaha saya selama ini diiktiraf dan dipandang. Sebenarnya usaha menuntut dan memartabatkan ilmu agama Islam biarlah dari buaian hingga ke liang lahat.
“Saya tidak akan biarkan satu hari berlalu begitu sahaja,melainkan saya mencari ilmu dan saya akan sampaikan ilmu tersebut. Itu yang menjadi semangat dan tidak suka membuang masa,” katanya ketika ditemui.
Beliau yang berasal dari Ulu Yam, Hulu Selangor itu memberitahu, bagaimanapun sehingga kini masih aktif menulis sedang melengkapkan buku ke 81 berhubung ilmu Qiraat.
“Buku itu belum ditulis oleh orang kita dan saya sedang melengkapkannya sehingga lewat malam dalam sebulan ini. Ia melibatkan surah Al fatihah hingga surah Al kahfi dan akan dicetak apabila siap nanti,” ujarnya. – UTUSAN










