PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkongsikan gambar beliau bertemu pemerintah Korea Utara, Kim Jong Un.
Pertemuan kedua-dua pemimpin tersebut adalah secara kebetulan ketika mereka menghadiri perarakan memperingati ulang tahun kebangkitan rakyat China dan penamatan Perang Dunia Kedua di Dataran Tian’anmen, Beijing, China hari ini.
“Secara kebetulan ketemu ketua pemerintah Korea Utara, Kim Jong Un yang turut hadir menyaksikan perarakan di Dataran Tian’anmen. Sempat salam dan tegur sapa,” kata Anwar menerusi akaun media sosialnya hari ini.
Anwar dan Jong Un merupakan 26 orang pemimpin dunia yang menghadiri perarakan tersebut atas
jemputan Presiden China, Xi Jinping.
Perdana Menteri dalam pada itu berkata, di sebalik pertunjukan aset ketenteraan yang memukau, perarakan tersebut hakikatnya adalah simbolik penentangan terhadap kezaliman, penindasan, pencerobohan, kerakusan kuasa, kolonialisme dan imperialisme yang menjadi titik hitam dalam sejarah peradaban manusia.
“Namun selepas 80 tahun tamatnya Perang Dunia Kedua, dunia masih lagi dihantui penindasan dan kekejaman yang berlaku secara terbuka, tanpa penentangan daripada kuasa-kuasa besar yang sering mendabik dada tentang demokrasi dan hak asasi manusia.
“Situasi ini mengingatkan kita bahawa keamanan sejati hanya akan tercapai dengan keberanian dan keyakinan teguh untuk menolak kezaliman dalam apa jua bentuk,” katanya lagi.