PETALING JAYA: Kerajaan digesa melaksanakan reformasi menyeluruh terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan dakwaan pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Tan Sri Azam Baki.
Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, ini kerana isu pegangan saham melibatkan Azam bukan perkara baharu selepas beliau sebelum ini turut dikatakan mempunyai pemilikan saham Gets Global Berhad (dahulunya KBES Berhad) pada 30 April 2015 yang dianggarkan bernilai kira-kira RM772,000.
Malah katanya, Azam juga didakwa enggan hadir ke prosiding Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) ketika dikaitkan dengan pemilikan saham melebihi RM100,000, sedangkan penjawat awam tidak dibenarkan membeli saham melebihi jumlah tersebut dalam mana-mana satu syarikat.
“Bersih mendesak Azam supaya meletakkan jawatan serta-merta bagi memelihara integriti institusi berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu Muhammad Faisal berkata, pihaknya mencadangkan agar ditubuhkan Jawatankuasa Bersama Parlimen berkenaan Hal Ehwal Rasuah (JBPR) bagi menggantikan Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah sedia ada.
“Jawatankuasa tersebut dicadangkan bertanggungjawab menyemak laporan daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Pencegahan Rasuah (SPPR) dan SPRM serta mengesahkan cadangan pelantikan jawatan kanan badan pencegahan rasuah sebelum diperkenankan Yang di-Pertuan Agong
Beliau berkata, jawatankuasa itu perlu mencerminkan komposisi kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara serta dipengerusikan oleh seorang Ahli Parlimen pembangkang.
Tegasnya, reformasi menyeluruh terhadap SPRM amat penting bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kesungguhan kerajaan dalam usaha membanteras rasuah secara telus dan berintegriti.-UTUSAN










