34 pelajar Gaza dipindah ke UK untuk lanjut pengajian

34 pelajar Gaza dipindah ke UK untuk lanjut pengajian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Seramai 34 pelajar dari Gaza yang mendapat tempat di universiti di Britain berjaya dipindahkan dan dijangka tiba di United Kingdom (UK) dalam beberapa hari lagi.

Pemindahan kumpulan pelajar ini adalah kali pertama sejak konflik bermula, di mana pelajar dari Gaza dibantu untuk meninggalkan negara itu bagi tujuan pengajian.

Menurut BBC, kumpulan itu termasuk sekurang-kurangnya empat doktor perubatan yang meninggalkan Gaza pada Rabu dengan sokongan penuh kerajaan UK, dan dijangka memulakan pengajian di universiti masing-masing awal minggu depan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mereka kini berada di sebuah negara ketiga untuk pemeriksaan biometrik visa sebelum meneruskan perjalanan dan dijangka memulakan pengajian awal minggu depan.

Seorang pelajar yang dipindahkan berkata kepada BBC, mereka kini dalam keadaan baik tetapi keletihan, menggambarkan 48 jam terakhir sebagai mencabar, khususnya kerana terpaksa meninggalkan ahli keluarga dan rakan lain yang masih menunggu peluang keluar.

Kumpulan itu turut merangkumi penerima biasiswa Chevening, iaitu program biasiswa tajaan kerajaan Britain untuk pengajian sarjana setahun.

Proses pemindahan itu susulan beberapa bulan kempen ahli politik, akademik dan masyarakat awam yang memperjuangkan lebih 100 pelajar Palestin yang mendapat tawaran universiti di UK tahun ini.

“Kami sedang bertindak segera untuk menyokong para penerima biasiswa Chevening dan pelajar dari Gaza yang telah ditawarkan tempat sepenuhnya di universiti-universiti Britain untuk hadir dan memulakan pengajian mereka,” kata jurucakap kerajaan UK.

Bagaimanapun, masih belum jelas bila kumpulan seterusnya akan dapat meninggalkan Gaza.

“Kami tetap berharap kerajaan UK akan menyokong semua pelajar layak untuk dipindah keluar. Kami dimaklumkan sekurang-kurangnya 35 pelajar lain yang mendapat biasiswa penuh masih terperangkap di Gaza.

“Kami bimbang terhadap pelajar yang mempunyai tanggungan. Empat ibu dan seorang bapa terpaksa menolak tawaran evakuasi minggu ini kerana tidak sanggup meninggalkan anak-anak mereka,” kata Dr Nora Parr, penyelidik Universiti Birmingham yang menyelaras usaha sokongan kepada pelajar terbabit.

Awal minggu ini, sekumpulan kanak-kanak dari Gaza yang menghidap penyakit serius turut dibawa ke UK untuk menerima rawatan pakar NHS dengan segera. -BBC

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×