KANGAR: Ratu pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli, 32, beraksi cemerlang apabila meraih emas dalam acara 200 meter (m) wanita pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia di Stadium Tuanku Syed Putra, di sini, hari ini.
Zaidatul menepati ramalan memenangi acara itu dengan catatan masa 24.57 saat (s).
Siti Norjahera Beliamor dari Sabah berusia 16 tahun pula mencipta sensasi menduduki tempat kedua dengan catatan masa 25.54s manakala tempat ketiga pula diraih pelari Negeri Sembilan, Adriana Shahryll Nizam dengan masa 26.09s.
Rekod kebangsaan acara 200m wanita dipegang oleh Shereen A. S. Vallabouy dengan catatan masa 23.09s semasa kejohanan 7th Annual Ed Murphey Classic 2023 di Tennessee, Amerika Syarikat (AS).
Semalam, Zaidatul turut beraksi cemerlang apabila memenangi emas acara 100m wanita dengan catatan masa 11.70s.
Dalam pada itu, Zaidatul berkata, biar pun catatan masa diraih tidak begitu memberangsangkan, namun dia berpuas hati dapat memenangi acara tersebut yang sudah sekian lama tidak disertainya.
“Perasaan saya gembira sebab tahun ini saya sudah lama tidak lari 200m dan ini adalah kejohanan untuk saya cuba atasi masa bagi acara ini. 25.57 saat itu, boleh tahanlah, sebab saya sekian lama tidak lari acara itu. Meskipun masa tidak begitu memberangsangkan namun saya bersyukur ia masih boleh diperbaiki lagi,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Zaidatul berkata, penglibatan atlet-atlet muda dalam acara tersebut juga sedikit sebanyak dapat memberi pendedahan buat mereka untuk bersaing dan membuang rasa takut.
Katanya, selain itu, ia juga membantu atlet-atlet untuk membuat catatan masa lebih baik.
Sementara itu, pelari dari Korea Selatan, Jeong Yeon Jin memenangi tempat pertama bagi acara 100m lari berpagar wanita dengan cacatan masa 13.72s mengatasi Kerstin Ong dari Singapura (13.86s) dan Arisa Weruwanarak dari Thailand di tempat ketiga dengan masa 14.00.

Bagi acara 110m lari berpagar lelaki dimenangi Kim Ju Ho dari Korea Selatan dengan catatan masa 13.86s mengatasi pelari dari Terengganu dan Johor masing-masing di kedudukan kedua serta ketiga.-UTUSAN