IPOH: Seorang wanita meminta siasatan punca kematian anaknya selepas menyertai latihan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Johor, baru-baru ini dilakukan.
Pelajar tersebut, Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, 22, didakwa meninggal dunia atas sebab kekejangan otot kira-kira pukul 4 petang pada 28 Julai lalu ketika pasukannya menjalani latihan di lapang sasar Ulu Tiram, Johor.
Ibunya, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, berkata, dia ke Hospital Kota Tinggi iaitu lokasi anaknya dimasukkan dan mendapati keadaan mayat berbeza daripada apa yang dimaklumkan kepadanya.
“Saya lihat jenazah anak saya sangat menyayat hati. Bagi saya keadaan anak tidak selaras dengan alasan kematian yang dimaklumkan kepada saya sebelum itu.
“Saya lihat, keadaan anak saya berdarah di leher dan hidung. Badannya ada kesan lebam,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Wanita itu justeru menuntut ketelusan proses untuk merungkai punca kematian anak sulungnya itu.
Sementara itu, polis mengesahkan tiada kecederaan berunsur jenayah dikesan sehingga menyebabkan kematian seorang pelatih Palapes UTM Skudai, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, pihaknya menerima laporan kejadian kematian mangsa yang berumur 22 tahun itu pada pukul 5.33 petang.
Katanya, siasatan awal mendapati kira-kira pukul 2.30 petang hari yang sama, mangsa tiba-tiba meracau dan hilang kawalan semasa menjalani Latihan Inokulasi Tempur di Lapang Sasar Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Darat (Pulada), Ulu Tiram, dekat sini.
“Menyedari situasi tersebut, mangsa dibawa ke Hospital Kota Tinggi oleh pegawai perubatan namun disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Zon Kecemasan.
“Mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk bedah siasat. Hasil bedah siasat mendapati tiada kecederaan berunsur jenayah dikesan dan punca kematian masih menunggu hasil siasatan makmal,” katanya dalam kenyataan semalam–UTUSAN.










