PETALING JAYA: Pindaan Peraturan Mesyuarat perlu dibuat bagi membolehkan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaksanakan secara sulit bagi mengelakkan Ahli Parlimen berdepan tindakan.
Ini kerana ada sesetengah pihak mendakwa terdapat ahli Parlimen yang ‘diikat’ sehinggakan mereka tidak boleh menyatakan kebenaran dalam usul undi tidak percaya secara terbuka.
Bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun berkata, Peraturan Mesyuarat ketika ini hanya membenarkan undi secara sulit untuk pemilihan Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, manakala semua usul lain termasuk undi tidak percaya perlu dijalankan secara terbuka.
Bagaimanapun, beliau menegaskan menteri perlu bangun mengusulkan supaya peraturan mesyuarat digantung bagi membolehkan undi tidak percaya dilakukan secara sulit.
“Jadi peraturan mesyuarat tidak terpakai untuk usul undi tidak percaya. Selain itu, Jawatankuasa Peraturan Mesyuarat perlu meminda peraturan mesyuarat bagi alternatif yang lebih kekal,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jelas Azhar, secara logiknya undi sulit lebih wajar demi prinsip tadbir urus baik kerana ia melindungi Ahli Parlimen daripada tekanan atau tindakan balas sekiranya keputusan tidak memihak kepada kerajaan.
“Kalau undi terbuka, Perdana Menteri akan tahu siapa yang menyokong atau menolak. Jika undi gagal mungkin akan ada tindakan diambil terhadap mereka yang mengundi tidak percaya.
“Dengan undi sulit, kita dapat elak penganaktirian atau hukuman politik,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, daripada sudut politik, perkara itu pasti menimbulkan perdebatan kerana Kerajaan Perpaduan telah menandatangani perjanjian persefahaman yang memerlukan semua pihak mematuhi sokongan terbuka.
“Penyokong kerajaan mungkin bertanya, kenapa perlu rahsia? Kalau hendak mungkir perjanjian, biar saya tahu secara terbuka. Sebab itu daripada segi politik sukar diputuskan, tetapi daripada prinsip tadbir urus, ia memang wajar,” katanya.
Semalam Mingguan Malaysia melaporkan, Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari mencabar kerajaan supaya membenarkan undi tidak percaya di Dewan Rakyat dijalankan secara sulit bagi menguji sokongan sebenar Perdana Menteri dalam kalangan ahli Parlimen.
Beliau mendakwa, sukar untuk membawa usul berkenaan ketika ini kerana semua Ahli Parlimen blok kerajaan telah terikat dengan perjanjian dan menandatangani Memorandum Persefahaman bersama kerajaan.
“Kalau betul berani, benarkan undi secara sulit supaya tidak diketahui siapa mengundi A atau B. Saya yakin kerajaan tidak akan berani kerana bimbang keputusan yang keluar akan memaksa mereka berundur,” katanya.-UTUSAN.










