Tiada tekanan, Khairul Hafiz terima apa jua keputusan  - Utusan Malaysia

Tiada tekanan, Khairul Hafiz terima apa jua keputusan 

KHAIRUL Hafiz Jantan (depan) memulakan larian bagi acara 4x100 meter lelaki pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2025 di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar, Perlis. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Bekas raja pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan, 27, mengakui tidak berdepan sebarang tekanan berhubung pemilihan atlet bagi mewakili negara dalam temasya Sukan SEA Thailand 2025 pada Disember depan.

Dia mengakui prestasi dirinya pada ketika ini sememangnya tidak begitu baik malah baharu sahaja menjalani pemulihan kecederaan hamstring kiri yang dialami ketika beraksi di Kejohanan Olahraga Asia (ATF) di Korea Selatan baru-baru ini.

Katanya, apa juga keputusan berhubung pemilihannya itu akan diterima dengan baik memandangkan matlamat hanyalah untuk membantu pasukan Malaysia mendapatkan pingat pada temasya itu.

“Memang tak ada tekanan buat saya berhubung perkara ini sebab kalau ada rezeki saya dapat main, saya terima, dan kalau tak diberi peluang pun, saya terima juga.

“Saya tahu prestasi saya sekarang agak menurun dan saya pun baru mulakan latihan empat minggu lalu bagi menghadapi Kejohanan Terbuka Malaysia ini,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2025 di Stadium Tuanku Syed Putra, di sini, hari ini, kuartet Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) A beraksi cemerlang apabila memenangi pingat emas bagi acara 4×100 meter lelaki.

Gandingan mantap Khairul Hafiz bersama Jonathan Nyepa, Pengiran Aidil Auf Hajam dan Danish Iftikhar Muhammad Roslee itu berjaya menghadiahkan kemenangan dengan catatan masa 39.68 saat.

Dalam pada itu, Khairul Hafiz berkata, terdapat beberapa pelari muda ketika ini antaranya seperti Danish dan Aidil dilihat berpotensi untuk menghadiahkan pingat buat negara pada temasya Sukan Sea nanti.

Di samping itu, Khairul Hafiz berkata, buat masa ini, dia juga hanya mengikut segala perancangan jurulatih, Institut Sukan Negara (ISN) dan pasukan perubatan dalam misi untuk bangkit semula dari belenggu kecederaan dialaminya sebelum ini.

Tambahnya, Kejohanan Terbuka Malaysia 2025 yang dianjurkan itu juga telah membuktikan bahawa ramai atlet muda negara mempunyai prestasi yang baik untuk diketengahkan pada Sukan SEA Thailand nanti.

“Kita juga tahu sasaran kita bukanlah Sukan SEA Thailand 2025 namun fokus sebenar kita adalah Sukan SEA 2028 di Kuala Lumpur nanti,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN