SEGAMAT: Tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku susulan gempa bumi lemah yang menggemparkan daerah ini awal pagi tadi.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pihaknya sudah menghubungi Pegawai Daerah Segamat, Mohd. Ezzuddin Sanusi bagi mendapatkan informasi lanjut kejadian itu.
“Saya dimaklumkan bahawa setakat ini tiada kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda dilaporkan.
“Kerajaan Negeri Johor sedang memantau keadaan ini dengan teliti bersama agensi berkaitan.
“Nasihat saya kepada rakyat, jauhi struktur-struktur tidak kukuh dan sentiasa peka dengan arahan pihak berkuasa,” katanya.
Dalam pada yang sama, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) akan terus membuat pemantauan rapi dan mengeluarkan makluman dari semasa ke semasa.
“Marilah kita sama-sama berdoa agar negeri Johor serta seluruh negara sentiasa dilindungi daripada sebarang musibah,” kongsinya. – UTUSAN











