JELI: Tentera Darat Malaysia (TDM) menggagalkan cubaan 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Myanmar memasuki negara ini secara haram menerusi Sungai Golok dekat sini pagi tadi.
Kesemua PATI itu ditahan pada pukul 8 pagi menerusi rondaan rutin oleh TDM di kawasan tanggungjawab Briged Kelapan Infantri Malaysia.
Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam satu kenyataan memaklumkan kesemua PATI yang ditahan itu terdiri daripada empat lelaki dan enam wanita.
Menurutnya, kesemua mereka itu masing-masing berusia antara 19 hingga 35 tahun.
“Kesemua PATI itu mengaku berasal dari Myanmar. Bagaimanapun, sebahagian daripada mereka memiliki dokumen pengenalan diri serta pasport negara asal.
“Selain itu, TDM turut merampas beberapa barangan peribadi seperti telefon bimbit serta wang tunai dalam mata wang Malaysia, Myanmar dan Thailand,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, TDM turut menyita sebuah kenderaan jenis Mitsubishi Pajero yang dipercayai digunakan untuk mengangkut kesemua PATI tersebut.
Katanya, bagaimanapun pemandu pacuan empat roda itu berjaya melarikan diri ke arah Thailand melalui Sungai Golok.
“Kesemua PATI diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli untuk tindakan lanjut.
“Anggaran keseluruhan nilai rampasan termasuk barangan, kenderaan dan wang tunai berjumlah RM21,426,” ujarnya.-UTUSAN










