Taman Bunga Kertas Tuanku Lailatul Shahreen berwajah baharu, tarikan pelancongan - Utusan Malaysia

Taman Bunga Kertas Tuanku Lailatul Shahreen berwajah baharu, tarikan pelancongan

AFFENDI Rajini Kanth (kiri) dan Abu Bakar Hamzah (kanan) mengiringi Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (tengah) meninjau Taman Bunga Kertas Tuanku Lailatul Shahreen selepas majlis perasmian taman berkenaan di Gua Cenderawasih, Persiaran Wawasan, Kangar, Perlis hari ini.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Taman Bunga Kertas Tuanku Lailatul Shahreen yang menjadi destinasi rekreasi keluarga di Persiaran Wawasan di sini menjadi tarikan baharu pelancongan di negeri ini selepas dibangunkan semula menjadi antara lokasi cukup memukau.

Kawasan tersebut yang sebelum ini agak terbiar dibangunkan semula dengan pelbagai penambahbaikan tersebut adalah hasil inisiatif Majlis Perbandaran Kangar (MPK).

Selain disajikan dengan keindahan pelbagai spesis bunga kertas, antara tarikan lain seperti pantai buatan, kawasan berpasir, jambatan kayu, trek joging dikelilingi keindahan alam sekitar, kemudahan senamrobik dan pelbagai lagi.

Yang Dipertua MPK, Affendi Rajini Kanth berkata, proses penambahbaikan tersebut mengambil masa kira-kira enam bulan dan ia bakal menjadi antara lokasi baharu tarikan pelancong di Perlis.

Katanya, taman itu juga merupakan destinasi terbaik untuk keluarga beriadah sambil menikmati keindahan alam semula jadi di situ selain melakukan pelbagai aktiviti sihat seperti joging.

“Taman tersebut sebelum ini agak usang dan kita mengambil inisiatif membangunkan semula dengan menyediakan pelbagai kemudahan. Daripada lokasi biasa, ia kini menjadi salah satu lagi tarikan baharu pelancongan di Perlis,” katanya selepas majlis perasmian destinasi rekreasi keluarga Taman Bunga Kertas Tuanku Lailatul Shahreen di Gua Cenderawasih,
Persiaran Wawasan di sini hari ini.

Perasmian tersebut disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan turut berangkat sama,
Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Abu Bakar Hamzah dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan negeri, Asrul Aimran Abd. Jalil.

Baginda berdua turut meluangkan masa meninjau sekitar kawasan Taman Bunga Kertas Tuanku Lailatul Shahreen itu.

Sementara itu, Affendi Rajini berkata, proses penambahbaikan tersebut akan terus dilaksanakan daripada masa ke semasa.

“Kewujudan taman berkenaan yang berwajah baharu sekali gus turut menghidupkan lagi suasana di Gua Cenderawasih yang bukan sahaja sebagai lokasi geotapak tetapi sebagai lokasi tarikan pelancong,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN