Suspek tikam polis dipercayai bawa dadah, elak diperiksa

Suspek tikam polis dipercayai bawa dadah, elak diperiksa

AYOB Khan Mydin Pitchay ketika melawat Koperal Mohd. Nadzri Sudiman, 35, yang cedera ditikam penagih dadah di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Kuala Lumpur, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis percaya suspek yang menikam Koperal Mohd. Nadzri Sudiman, 35, ketika menjalankan tugas rondaan cegah jenayah di Pasar Pudu, Jalan Yew, dekat sini, kelmarin bertindak agresif kerana dipercayai membawa dadah. 

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, siasatan mendapati suspek berusia 56 tahun itu berkemungkinan bertindak sedemikian kerana ingin mengelak pemeriksaan yang dijalankan anggota polis terbabit. 

“Ketika kejadian anggota (polis) memang tahan untuk pemeriksaan jadi kami percaya suspek buat begitu (tikam anggota) kerana ada bawa dadah, mungkin itu dia bertindak agresif. 

“Suspek turut mempunyai 14 rekod jenayah berkaitan dadah dan kekerasan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat anggota polis dari Balai Polis Pudu terbabit di Hospital Canselor Tuanku Muhriz di sini hari ini. 

Yang turut hadir, Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad; Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) Bukit Aman, Datuk Azizee Ismail; Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohd Lazim Ismail dan Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan.

Menurut Ayob Khan, ketika kejadian, anggota polis terbabit tidak menggunakan kamera badan namun dia sedang melakukan rondaan jenayah bersama rakan setugas. 

Katanya, justeru pemakaian kamera badan sememangnya penting bagi Unit Rondaan Bermotosikal (URB) serta Unit Kereta Peronda (MPV).

“Kami sudah minta supaya semua anggota terutama dari URB serta MPV dibekalkan dengan alat itu (kamera badan)

“Jumlah keseluruhan yang kita sudah pakai di seluruh negara adalah 7,648 unit untuk fasa 1 dan akan peroleh lagi kira-kira 10,000 fasa 2 nanti,” katanya. 

Mengulas mengenai keadaan anggota terbabit beliau berkata, Mohd. Nadzri yang mengalami kecederaan di bahagian usus dan kini berada dalam keadaan stabil namun masih lemah dan dirawat di Unit Rawatan Rapi Kardiotorasik (CICU) selepas menjalani pembedahan kecemasan.

“Doktor masih mengawasi keadaan dia jadi kalau ikut doktor dalam masa seminggu atau dua minggu ini dia akan pulih,” katanya. 

Media sebelum ini melaporkan suspek yang menikam anggota polis sehingga parah dalam kejadian terbabit dipercayai di bawah pengaruh dadah. 

Mohamed Usuf Jan dilaporkan berkata, pihak polis turut menemukan dadah jenis heroin pada suspek.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×