Siti Bainun kekal dipenjara, rayuan akhir ditolak

Siti Bainun kekal dipenjara, rayuan akhir ditolak

SITI Bainun Ahd Razali kekal dipenjara selepas Mahkamah Rayuan menolak rayuan akhir.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: “Haiwan yang tiada akal waras pun tidak sanggup mendatangkan kecederaan seper­ti dialami Bella.”

Hakim Datuk Azman Abdullah membuat kenyataan tersebut ketika membaca penghakiman sebulat suara panel tiga hakim Mahkamah Rayuan berhubung rayuan akhir pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali atas kesalahan mengabaikan dan menganiaya remaja Sindrom Down, Bella, empat tahun lalu.

Tambahnya, pendakwaan te­lah berjaya membuktikan kes melangkaui keraguan munasabah dan kecederaan yang dialami mangsa bukan berlaku secara kebetulan atau berpunca daripada dirinya sendiri.

“Kecederaan yang dialami mangsa bukan berlaku secara kebetulan atau berpunca daripada dirinya sendiri malah ia disokong keterangan saksi termasuk pegawai perubatan. Berdasarkan gam­bar yang dikemukakan di mahkamah, terdapat luka pada tangan, kesan kecederaan lama di kepala, muka, leher dan belakang, selain kesan melecur.

“Malah, haiwan yang tiada akal waras pun tidak sanggup melakukan perbuatan seperti di­alami Bella. Jika tidak diama­nahkan (penjagaan Bella) kepada seseorang manusia, siapa lagi yang boleh melindunginya?” kata Hakim Azman.

Selain itu, hakim tersebut sempat memberi peringatan kepada orang awam agar tidak mengambil kesempatan terhadap golongan lemah serta sentiasa takut kepada hukuman dan undang-undang.

Selepas membaca alasan penghakiman, Hakim Azman yang mengetuai panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang bersidang bersama-sama Datuk Azmi Ariffin dan Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz sebulat suara menolak rayuan akhir Siti Bainun, 33.

Siti Bainun memfailkan rayuan tersebut bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bertarikh 3 Mei 2023 yang menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun bagi pertuduhan mengabaikan dan penjara 12 tahun bagi pertuduhan menganiaya. Hukuman penjara itu diperintahkan berjalan serentak.

Mahkamah Sesyen itu turut mengenakan bon berkelakuan baik selama lima tahun dan pe­rintah menjalani khidmat masyarakat selama 200 jam selepas selesai hukuman penjara.

Mahkamah turut mengekalkan hukuman 10 tahun penjara bagi pertuduhan mengabaikan dan 12 tahun bagi pertuduhan menganiaya, yang berjalan serentak bermula tarikh sabitan, selain bon berkelakuan baik lima tahun dan khidmat masyarakat 200 jam selepas selesai menjalani hukuman.

Pada 2 Mei tahun lalu, Ma­kamah Tinggi Kuala Lumpur telah menolak rayuan Siti Bainun terhadap sabitan salah dan hukuman tersebut.

Dalam prosiding semalam, Mahkamah Rayuan turut menolak permohonan notis usul Siti Bainun untuk memasukkan bukti baharu kerana tidak memenuhi ambang (threshold) yang diperuntukkan.

Notis usul yang difailkan pada 19 Mei lalu membabitkan laporan polis dibuat oleh Ismanira Abdul Manaf yang menyentuh kredibiliti salah seorang saksi utama pendakwaan dalam kes pengabaian dan penganiayaan remaja itu.

Tertuduh diwakili peguam-peguam bela, Haijan Omar, Nurul Hafidzah Hassan, Nur Aminatul Mardhiah Md Nor, Tun Laila Tun Rafaee, Asyraaf Abu Bakar Hamzah dan Putri Ainaa Amiera Megat Mustaffa Al-Bakri.

Pihak pendakwaan dikendalikan Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamed, Tetralina Ahmad Fauzi, Analia Kamaruddin dan Hidayat Wahab. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN