Siswazah automotif pilih jadi petani moden

Siswazah automotif pilih jadi petani moden

AHMAD TIRMIZI Mohamed Zulkifli (kiri) bersama Mohd. Suhaimi Mohd. Noor memilih timun mengikuti gred di kebunnya di Kampung Paya Resak sebelum dihantar ke pasar borong. – MINGGUAN/ERMA YUSNIDA JUSOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Meskipun memiliki latar belakang pendidikan dalam bidang automotif, seorang siswazah muda dari Kampung Paya Resak, dekat sini membuktikan bahawa sektor pertanian moden mampu menjanjikan pendapatan lumayan jika diusahakan secara sistematik dan bersungguh-sungguh.

Ahmad Tirmizi Mohamed Zulkifli, 29, memilih menceburi bidang pertanian sepenuh masa sejak enam tahun lalu dengan menanam timun batang secara fertigasi menggunakan 3,500 polibeg di kampung berkenaan.

Katanya, keputusan itu membuahkan hasil apabila dia bersama rakan kongsi, Mohd. Suhaimi Mohd. Noor, 32, mampu meraih pendapatan antara RM7,000 hingga RM8,000 sebulan, hasil jualan timun selain cili yang mendapat permintaan tinggi dari pasar borong.

“Saya minat bidang pertanian sejak sekolah walaupun belajar automotif. Selepas tamat pengajian di peringkat diploma, saya fikir lebih baik buat sesuatu yang saya minat dan boleh jana pendapatan sendiri.

“Timun batang antara sayu­ran yang cepat mengeluarkan hasil dan boleh dituai seawal 30 hingga 35 hari selepas ditanam, dengan hasil tuaian selama 25 hari,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini.

Ahmad Tirmizi berkata, se­tiap musim dia mengutip hasil sekitar empat tan metrik bergantung kepada cuaca dan penjagaan yang dijual pada harga borong RM25 untuk 10 kilogram.

“Saya mempunyai tiga plot kawasan tanaman yang mana setiap plot mempunyai 1,000 polibeg dan saya tanam ikut giliran. Habis musim kali ini, saya mulakan dengan plot baru untuk 1,000 polibeg,” katanya.

Selain timun batang, dia mengusahakan cili dan melon manis yang ditanam secara bergilir.

Katanya, dia memanfaatkan bantuan awal dan bimbingan daripada agensi pertanian serta pembelajaran sendiri melalui rakan yang terlibat dalam tanaman itu untuk memahami sistem fertigasi selain penjaga­an tanaman.

Katanya, dia merancang memperluas usahanya dengan menambah jumlah polibeg dan meneroka pelbagai jenis tanaman lagi selepas ini.

“Saya harap dapat menambah tanaman sekiranya ada kawasan yang lebih luas. Buat masa sekarang, kita manfaatkan sepenuhnya kawasan yang ada.

“Pesan saya , anak muda jangan malu jadi petani. Sekarang semuanya boleh dikendalikan secara moden dan hasilnya pun lumayan kalau kita usaha betul-betul,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN