Siasatan kematian Zara Qairina selesai

Siasatan kematian Zara Qairina selesai

SAIFUDDIN Nasution Ismail menyampaikan anugerah pelatih terbaik sempena Majlis Perbarisan Taman Latihan Kursus Asas Maritim Malaysia di Akedemi Maritim Sultan Ahmad Shah, Kuantan, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Polis telah melengkapkan siasatan kematian pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir dan kertas siasatan dijangka diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara selewat-lewatnya minggu depan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, siasatan melibatkan hampir 60 saksi kini di peringkat akhir sebelum tindakan lanjut oleh pihak pendakwaan.

“Fokus kita adalah kepada siasatan polis. Hampir 60 saksi sudah dipanggil dan tugas polis ialah membantu menyiapkan siasatan sama ada wujud kes, motif atau unsur senjata. Semua itu dalam skop mereka.

“Siasatan kini sudah selesai dan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP),” katanya selepas selesai Perbarisan Tamat Latihan (POP) pelatih Kursus Asas Leftenan Muda Maritim Siri 12/2024 dan Kursus Asas Laskar Kanan Mari­tim Siri 18/2024 di Akedemik Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) di sini, semalam.

Menurut Saifuddin, sebarang keputusan selepas itu sama ada untuk meneruskan pendakwaan atau membuka prosiding inkues, terletak di bawah bidang kuasa Jabatan Peguam Negara.

Beliau mengakui permohonan yang dibuat oleh ibu Allahyarham termasuk menggali semula kubur untuk tujuan bedah siasat, merupakan satu tindakan sah di sisi undang-undang.

“Usaha yang dilakukan oleh ibu mangsa melalui saluran un­dang-undang adalah dibenarkan, dan kita akan pastikan semua proses berkaitan dilaksanakan secara teratur,” katanya.

Allahyarham Zara Qairina Mahathir, 13, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah dilaporkan meninggal dunia pada 17 Julai lalu selepas sehari menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.

Mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama kira-kira pukul 3 pagi dan mengalami kecederaan parah sebelum dibawa ke hospital oleh pihak sekolah.

Bagaimanapun, ketiadaan proses bedah siasat sebelum pengebumian menimbulkan tan­da tanya dalam kalangan ahli keluarga yang kemudian tampil membuat laporan polis tambahan dan memohon agar satu inkues diadakan bagi mencari kepastian terhadap punca sebenar kematian. – MINGGUAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN