SEREMBAN: Selepas genap dua tahun dilaksanakan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 2023, Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan kali ini menyasarkan membentuk kerajaan negeri pada pilihan raya akan datang.
Pengerusi PN Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker berkata, sasaran tersebut berdasarkan penerimaan rakyat ketika ini termasuk dalam kalangan bukan Melayu yang semakin baik kepada PN.
“Selepas dua tahun apa yang saya lihat dengan adanya wakil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PN di sidang Dewan Undangan Negeri, keberadaan PN di Negeri Sembilan makin diterima masyarakat.
“Rakyat juga sudah bertambah yakin dengan kepemimpinan PN di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin. Jadi lebih mudah untuk mendekati pengundi di negeri ini dan tidak mustahil untuk PN mengetuai kerajaan Negeri Sembilan pada pilihan raya akan datang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Pada PRN Negeri Sembilan yang lalu, PN memenangi lima kerusi DUN daripada 36 buah kerusi yang dipertandingkan iaitu Gemas, Paroi, Labu, Bagan Pinang dan Serting.
Mohamad Hanifah yang juga ADUN Labu dan Ketua Pembangkang DUN Negeri Sembilan, berkata, sasaran untuk menjadi kerajaan negeri itu juga adalah berpandukan kepada keputusan PRN yang lalu iaitu terdapat hampir 10 kawasan DUN kalah dengan majoriti bawah 1,000 undi.
“Itu pun kami melawan gabungan parti-parti yang agak dominan iaitu PKR, DAP dan ditambah juga dengan kekuatan parti UMNO. bagaimanapun kami hanya tewas sedikit sahaja, DUN Kota kalah lebih kurang 135 undi dan DUN Juasseh sebanyak 78 undi.
“Ada lebih kurang enam kawasan lagi kami kalah bawah 700 undi sahaja. Kalau berpandukan itu dan keadaan sekarang dan ditambah saban tahun Undi 18 makin meningkat, kami yakin Undi 18 masih lagi memihak kepada PN,” katanya.
Ditanya mengenai persediaan PN jika PRN diadakan lebih awal iaitu sama dengan pilihan raya umum, Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Negeri Sembilan itu memaklumkan PN akan sentiasa bersedia kerana itu juga arahan dari kepemimpinan atasan.
“Kalau rujuk pada konteks Negeri Sembilan, kami sentiasa siap siaga kerana ini adalah arahan daripada kepemimpinan PN. Kalau dilihat, kami baharu habis pemilihan cawangan dan bahagian.
“Penambahan cawangan di Negeri Sembilan juga agak mendadak walaupun itu kawasan majoriti dahulunya tempat kekuatan UMNO, penambahan cawangan baru pun agak menggalakkan. Sekitar 35 peratus secara keseluruhannya berbanding jumlah cawangan sebelum PRN yang lalu. Itu menunjukkan penerima kepada PN agak baik,” katanya.-UTUSAN.










