RUU PSB tidak pecah demografi Melayu

RUU PSB tidak pecah demografi Melayu

ANWAR Ibrahim di Dewan Rakyat, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Se­mula Bandar (PSB) 2025 bukan untuk memecahkan demografi orang Melayu.

Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, pindaan RUU PSB­ 2025 bertujuan melindungi ke­pentingan rakyat khususnya orang Melayu di kawasan ban­dar agar tidak terus hidup da­lam kemiskinan.

Justeru, Perdana Menteri ber­kata, dakwaan RUU PSB 2025 bertujuan memecahkan demografi majoriti Melayu kepada bukan Melayu adalah tuduhan tidak berasas.

Malah, beliau mempersoalkan kawasan manakah yang telah diserahkan kepada bukan Melayu sejak Kerajaan Perpa­duan dibentuk dengan penyertaan DAP.

“Selama puluhan tahun pentadbiran kerajaan terdahulu juga tidak pernah menyerahkan tanah milik Melayu termasuk tanah rizab Melayu di Kuala Lumpur tanpa persetujuan Jemaah Menteri.

“Kita yang memberikan ta­nah tersebut untuk pembangunan perumahan rakyat malah tiada sebarang bantahan sebelum ini,” katanya ketika Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau menjawab soalan tam­­bahan Ketua Pembangkang, Da­tuk Seri Hamzah Zainuddin (PN-Larut) mengenai rasional RUU berkenaan.

Anwar turut mempersoalkan pendirian Perikatan Nasional (PN) terhadap pembangunan semula rumah kos rendah ketika menerajui pentadbiran negara.

“Saya ingin tahu dalam tem­poh 33 bulan pentadbiran PN, adakah terdapat cadangan mem­bangunkan rumah kos rendah atau projek perumahan baharu?

“Saya lihat memang ada cadangan pembangunan semula bandar oleh menteri terdahulu tetapi apabila Kerajaan Madani melaksanakannya, ada pula pihak yang menentang dan mengadakan tunjuk perasaan. Jika ada kelemahan, betulkan tetapi jangan menolak RUU PSB 2025,” katanya.

Anwar berkata, tuduhan kerajaan hanya menyokong go­longan kaya juga tidak benar.

“Semua projek di Kuala Lum­pur disertakan syarat se­perti sekolah vertikal dan rumah rakyat. Tidak ada projek khusus hanya untuk golongan kaya,” katanya.

Perdana Menteri berkata, pindaan RUU PSB 2025 bertujuan melindungi kepentingan rakyat khususnya orang Me­layu di bandar agar tidak terus hidup dalam kemiskinan.

Katanya, pengambilalihan sesebuah bangunan hanya dilakukan sekiranya 80 peratus penduduk bersetuju, manakala baki 20 peratus diberikan pampasan sewajarnya.

“Apakah logiknya jika 20 peratus menolak keputusan 80 peratus yang mahukan perubahan?” soalnya

Anwar turut berkongsi pengalaman ketika memindahkan 13 keluarga yang membantah projek perumahan di Tanjung Tokong, Pulau Pinang, sedangkan lebih 200 keluarga Melayu lain hidup dalam keadaan daif di tanah haram.

“Projek itu terbiar puluhan tahun. Akhirnya saya buat keputusan memindahkan mereka kerana tidak sanggup melihat orang Me­layu terus merempat. Hasilnya, lihatlah pembangunan Tanjung Tokong hari ini,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga terbuka kepada sebarang cadangan penambahbaikan, na­mun menolak tuduhan kononnya kerajaan menindas Melayu atau menjadi boneka pihak tertentu.

“Tugas saya ialah mempertahankan kepentingan Melayu dan bumiputera, majoriti rak­yat negara ini, supaya mereka tidak terus hidup daif.

“Pindaan undang-undang ini tidak seharusnya dijadikan isu perkauman sebaliknya usaha membina bandar yang lebih seimbang.

“Kita tidak boleh biarkan bandar pesat dengan menara tinggi tetapi majoriti rakyat khususnya Melayu terus duduk di rumah usang dan merempat. Itulah sebab RUU ini perlu dilaksanakan,” katanya.

Dalam pada itu, perbahasan dan pengundian Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (PSB) 2025 yang menjadi kontroversi bagaimanapun ditunda ke Mesyuarat Dewan Rakyat akan datang.

Perkara itu disahkan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) di Facebook miliknya, turut di­sahkan seorang pegawai kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming kepada Utusan Malaysia.

“Ya, bacaan kedua akan diteruskan hari ini, perbahasan dan pengundian pada sidang Oktober depan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN