TEXAS: Ahli politik Republikan di Texas sekali lagi gagal meneruskan usaha untuk meluluskan pelan persempadanan semula kawasan pilihan raya selepas sekumpulan wakil rakyat Demokrat bertindak keluar meninggalkan negeri itu untuk menggagalkan korum persidangan.
Sehari selepas meluluskan waran terhadap ahli Demokrat yang ‘menghilangkan diri’, Speaker Dewan Perwakilan, Dustin Burrows berkata, Jabatan Keselamatan Awam Texas sedang bekerja secara aktif untuk memaksa kehadiran mereka.
Waran yang dikeluarkan memberi kuasa kepada polis negeri untuk menahan ahli Demokrat yang tidak hadir dan membawa mereka kembali ke Capitol.
Peguam Negara Texas, Ken Paxton berkata, beliau akan melakukan apa sahaja dalam kuasanya untuk memaksa ahli Demokrat kembali ke Austin dan berdepan tindakan undang-undang kerana mengabaikan mandat rakyat negeri itu.
Ahli-ahli Demokrat berkenaan dilaporkan melarikan diri ke negeri lain seperti Illinois, New York dan Massachusetts, tiga negeri yang dikuasai Demokrat dan di luar bidang kuasa undang-undang Texas tanpa kerjasama pihak berkuasa tempatan.
Tindakan ahli Demokrat meninggalkan Texas bertujuan untuk menggagalkan usaha Republikan meluluskan pelan persempadanan semula kawasan pilihan raya yang akan menjadikan lima kerusi Kongres lebih memihak kepada Republikan.
Ia sekali gus boleh membantu parti itu mengekalkan majoriti tipis di Dewan Perwakilan AS dalam pilihan raya akan datang.
Namun, Peguam Hak Mengundi daripada Texas Civil Rights Project, Sarah Chen berkata, tindakan para ahli Demokrat itu tidak melanggar mana-mana undang-undang jenayah, maka tiada asas perundangan untuk memohon ekstradisi mereka dari negeri lain.
“Sebarang kerjasama dengan negeri lain atau pihak berkuasa Persekutuan lebih kepada permintaan bantuan secara tidak rasmi, bukannya kewajipan undang-undang,” katanya kepada CNN.
Ahli Dewan Undangan Texas, Lulu Flores berkata, beliau dan beberapa rakan Demokrat yang kini berada di Illinois berhasrat untuk terus tinggal di luar negeri selagi perlu untuk menggagalkan usaha persempadanan semula agresif oleh Republikan, agenda yang turut mendapat sokongan Presiden, Donald Trump.
“Sesi khas ini berlangsung sehingga 19 Ogos. Jadi, itulah tempoh minimum kami jangka akan berada di sini,” katanya dalam wawancara bersama CNN.
Selepas gagal mencapai korum pada Selasa, Dewan Perwakilan Texas dijadualkan bersidang semula pada Jumaat sekitar pukul 2 petang (waktu tempatan).
Setakat ini, masih belum jelas sama ada lebih 50 ahli Demokrat yang tidak hadir akan kembali.
Jika tidak, Dewan Perwakilan masih tidak dapat memenuhi syarat kehadiran dua pertiga ahli untuk membolehkan persidangan diteruskan.










