PUTRAJAYA: Rayuan seorang guru tadika, M. Indira Gandhi terhadap Ketua Polis Negara (KPN) dan tiga lagi yang didakwa gagal melaksanakan perintah mahkamah dalam mendapatkan semula anak perempuannya yang dilarikan bekas suaminya akan diputuskan pada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.
Hakim, Datuk Mohamed Zaini Mazlan yang mengetuai panel tiga hakim memaklumkan mahkamah memerlukan masa untuk meneliti hujahan-hujahan yang dikemukakan sebelum membuat keputusan.
“Mahkamah menetapkan 25 Ogos ini untuk pengurusan kes secara dalam talian,” katanya yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Faizah Jamaludin dan Hakim Datuk Mohd. Radzi Abdul Hamid.
Indira Gandhi memfailkan rayuan selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak saman wanita itu yang mendakwa kesemua responden telah gagal menjejak bekas suami wanita itu, K. Patmanathan atau nama selepas memeluk agama Islam, Muhammad Riduan Abdullah, 51, dan memulangkan anak perempuannya, P. Prasana Diksa.
Muhammad Riduan melarikan diri bersama Prasana pada 2009 ketika anak itu berusia 11 bulan, selepas memeluk agama Islam. Prasana akan berusia 17 tahun pada tahun ini. Dua lagi anak Indira Gandhi telah dipulangkan kepadanya pada 2010.
Pada prosiding hari ini, Indira Gandhi diwakili peguam, Rajesh Nagarajan manakala kesemua responden diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Nur Ezdiani Roleb.
Selain Ketua Polis Negara, turut dinamakan sebagai responden ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kerajaan Malaysia.
Terdahulu, Rajesh menghujahkan bahawa pihak polis telah gagal menjalankan tugas yang telah diarahkan oleh Mahkamah Tinggi Ipoh pada Mei 2014.
“Pihak polis sepatutnya mengemaskini maklumat berkaitan keberadaan Patmanathan setiap tiga bulan namun gagal berbuat demikian sejak tahun 2020.
“Pihak polis juga gagal menahan Pathmanathan ketika dia disaman kerana memandu dengan laju mahupun ketika membayar saman berkenaan sedangkan perintah komital telahpun dikeluarkan.
“KPN mengakui keberadaan dan mengetahui lokasi bekas suami perayu tetapi tidak mengikut arahan mahkamah untuk mengesan, menangkap serta mengembalikan anaknya,” kata peguam itu.
Peguam terbabit bagaimanapun ketika ditanya oleh panel adakah benar bekas suami Indira Gandhi sendiri yang membayar saman trafik itu dan bukannya pihak ‘mengakui’ bahawa dakwaan tersebut adalah satu anggapan.
Kegagalan tersebut menunjukkan bahawa kesemua responden telah sengaja tidak mengambil tindakan (tort of nonfeasance) dalam mengembalikan anak bongsu wanita itu ke pangkuan ibunya.
Sementara itu, Nur Ezdiani menghujahkan bahawa pihak perayu telah gagal membuktikan bahawa kesemua responden telah gagal mengambil tindakan sewajarnya dalam menjejak dan mengesan Pathmanathan.
Selain itu, dakwaan tort of nonfeasance gagal dibuktikan kerana pihak polis telah menjalankan pelbagai usaha untuk mengesan lelaki itu termasuk menggunakan sumber siasatan daripada Pasukan Khas Jenayah Terancang (Stafoc), ketika itu.
Berhubung dakwaan mengenai saman trafik yang dikenakan terhadap lelaki berkenaan, Nur Ezdiani menyatakan, pihak perayu tidak pernah memfailkan sebarang permohonan untuk mengesahkan perkara berkenaan atau memohon penzahiran mengenai perkara itu.
Menurut saman yang difailkan pada 28 Oktober 2020, Indira memberitahu pada 29 April 2016, Mahkamah Persekutuan, Putrajaya mengekalkan perintah mandamus (memaksa) KPN untuk mematuhi dan melaksanakan perintah komital dan pengembalian semula kanak-kanak terbabit.
Bagaimanapun, sehingga hari ini KPN masih gagal atau enggan melaksanakan perintah-perintah tersebut walaupun mengetahui keberadaan bekas suaminya dan anak perempuannya itu.
Oleh itu, plaintif mendakwa defendan pertama mempunyai niat jahat dan sengaja tidak mengambil tindakan (tort of nonfeasance) untuk menangkap Muhammad Riduan dan mengembalikan Prasana Diksa kepadanya dan PDRM, KDN dan Kerajaan Malaysia didakwa bertanggungjawab atas keengganan defendan pertama itu.
Sehubungan itu, Indira Gandhi memohon deklarasi bahawa KPN telah melakukan tort of nonfeasance dan defendan kedua hingga keempat bertanggungjawab atas tindakan defendan pertama.
Turut dimohon ialah ganti rugi am, teruk dan teladan yang akan ditaksirkan serta kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.-UTUSAN.










