Rungkai sejarah Malaysia-Singapura menerusi laporan Utusan

Profesor NUS rungkai sejarah Malaysia-Singapura menerusi laporan akhbar Utusan Melayu

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah diiringi Tharman Shanmugaratnam (dua dari kanan) ketika melawat pameran pada Simposium Akademik 2025 Bersama Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Singapura (NUS) di Ipoh, Perak semalam. – UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang penyelidik dari Singapura akan merungkai pelbagai laporan berita serta arti­kel akhbar Utusan Melayu bagi mencari nilai sejarah dan wari­san antara Malaysia-Singapura terutama sebelum kedua-dua negara itu berpisah.

Perkara itu dipersembahkan kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang berkenan hadir ke Simposium Akademik 2025 Bersama Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Singapura (NUS) di sini semalam.

Turut hadir ke program itu ialah Presiden Singapura, Tharman Shanmugaratnam.

Kajian tersebut mahu dilaku­kan oleh Pensyarah Fakulti Sastera dan Sains Sosial NUS, Prof. Madya Dr. Seng Guo Quan yang mengumpul pelbagai maklumat serta keratan akhbar itu terutama sejak ditubuhkan pada tahun 1939 sehingga 1960-an.

Katanya, usaha tersebut turut melibatkan bantuan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi men­terjemahkan tulisan jawi kepada bahasa rumi.

“Singapura menjadi hab penting pasaran utama di rantau ini bermula abad ke-20. Ia juga menjadi lokasi pembikinan filem-filem P. Ramlee pada tahun 1950-an sehingga 1960-an.

“Di Singapura, Utusan Melayu dilahirkan pada tahun 1939 oleh Yusof Ishak yang kemudian­nya menjadi Presiden Singapura. Akhbar itu meme­nuhi aspirasi nasionalis Melayu bermula tahun 1940-an,” katanya.

Beliau membentangkan kertas kerjanya bertajuk Utusan Melayu dan Skrip Jawi: Meng­gu­na­kan AI untuk Merungkai Wari­san Bersama kepada lebih 100 orang yang hadir.

Guo Quan turut berkongsikan bagaimana AI berjaya menterjemah tulisan jawi yang bagaima­na­pun masih memerlukan pro­ses pembetulan ejaan dan maksud.

Pensyarah itu juga menunjukkan beberapa keratan Utusan Melayu termasuk gambar barisan wartawan terawal akhbar tersebut seperti Salleh Daud, Othman Wok, Samad Ismail dan Kamaluddin Muhammad (Keris Mas) selain hubungan antara Yusof Ishak dengan Perdana Menteri Pertama Singapura, Lee Kuan Yew.

“Malangnya, wujud keadaan yang mana akhbar Utusan Melayu ini disalah faham dalam sejarah perdana Singapura. Oleh itu kajian saya ini akan mencari kepelbagaian dan suara antipenjajah daripada sumber bukan bahasa Inggeris seperti Utusan Melayu,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN