KUALA KUBU BHARU: Sektor pertanian negara perlu diperkukuh dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) bagi mengurangkan kebergantungan import makanan negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia penting bagi memastikan keterjaminan makanan terus terjaga pada masa akan datang.
Katanya, Majlis TVET Negara bersedia menyalurkan bantuan dan bekerjasama dengan institusi latihan pertanian seluruh negara agar inisiatif dilaksanakan menerusi kursus bercirikan teknologi tinggi.
“Modul tersedia selama ini baik tetapi pada hemat saya, penggunaan Internet benda (IoT) dan pedagogi pengajaran untuk mereka (TVET) ini penting.
“Perlu 30 peratus sahaja pembelajaran di dalam kelas manakala 70 peratus mesti berada di lapangan bagi memberikan pendedahan bidang pertanian kepada mereka,” katanya selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Kompleks Lembu Tenusu Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Ehsan Dairy Farm semalam.
Ahmad Zahid dalam pada itu berkata, graduan TVET dalam bidang pertanian perlu diberikan gaji dengan kadar tinggi dan bukannya terikat dengan gaji minimum RM1,700 untuk menarik minat generasi muda menyertai sektor berkenaan.
Katanya, graduan TVET khususnya pemegang Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap Tiga layak menerima gaji minimum RM3,000 manakala pemegang SKM Tahap Lima berpeluang mendapat hingga RM5,000 sebulan.
“SKM Tahap Lima setaraf dengan diploma, lazimnya daripada permintaan pasaran atau kebolehgajian cukup tinggi, ia mencecah gaji premium kira-kira RM5,000 dan hal ini tentunya akan dapat menarik anak-anak muda untuk menceburi bidang ini,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, pembukaan Ehsan Dairy Farm, merupakan pencetus perubahan PKPS dalam usaha meningkatkan pengeluaran tenusu tempatan sekali gus membantu mengurangkan kebergantungan pengimportan produk berkenaan di negara ini.
“Kita mengimport kira-kira 94.7 peratus keperluan tenusu negara bernilai RM4.6 juta setahun. Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) ketika pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 baru-baru berkata beban yang agak besar adalah apabila kita mengimport bahan-bahan makanan termasuk tenusu ini dari luar negara.
“Jadi usaha PKPS ini adalah satu usaha yang proaktif agar akhirnya nanti kita akan dapat mengurangkan (kebergantungan import tenusu) dengan jumlah yang besar secara signifikannya,” katanya. – UTUSAN









