KUALA LUMPUR: Pertubuhan Intelek Wawasan Malaysia (INTELEK) menyokong tindakan tegas Kementerian Dalam Negeri terhadap pusat pemulihan dadah swasta di Negeri Sembilan susulan kes kematian terbaru yang dilaporkan baru-baru ini.
Penolong Setiausaha INTELEK, Muhammad Ameer Hafidz Abdul Salim berkata, langkah itu bagi memberi peringatan kepada pusat pemulihan dadah swasta di seluruh negara supaya memastikan premis dikendalikan mengikut undang-undang.
Katanya, ia juga penting bagi memastikan pusat-pusat pemulihan menjalankan tanggungjawab secara beretika dan profesional dalam membantu individu terlibat dengan penyalahgunaan dadah kembali pulih dan berfungsi dalam masyarakat.
“Mereka yang pernah terlibat dengan dadah berhak mendapat peluang kedua. Kita sebagai masyarakat pula wajib menyokong dan menerima mereka semula, bukan menghukum seumur hidup,” katanya di sini hari ini.
Semalam Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan bahawa tindakan sedang diambil ke atas sebuah pusat pemulihan swasta di Negeri Sembilan susulan insiden kematian yang berlaku di premis tersebut.
KDN kini mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan terhadap pusat pemulihan dadah persendirian yang tidak berdaftar atau melanggar garis panduan yang ditetapkan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), susulan pindaan terhadap Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983, tahun lalu.
Pindaan tersebut membolehkan kerajaan memperluas kawalan terhadap pusat-pusat pemulihan swasta yang sebelum ini tidak tertakluk kepada tindakan tegas.
Menurut data AADK, lebih 118,000 penagih dadah telah didaftarkan pada tahun 2024, dan hampir 70 peratusan daripadanya adalah golongan muda berusia antara 15 hingga 40 tahun.
Ini menunjukkan betapa pentingnya sistem pemulihan yang efektif, selamat dan dikawal selia dengan baik.
Tambah Muhammad Ameer, pusat pemulihan seharusnya menjadi ruang yang selamat dan menyokong proses pemulihan, bukan menjadi tempat yang boleh mengancam nyawa individu yang sedang berusaha berubah.
“Kami berharap KDN dapat memperketat syarat operasi pusat pemulihan swasta, termasuk aspek pemantauan berkala, kelayakan kakitangan dan tahap keselamatan bagi mengelakkan insiden seumpama itu berulang pada masa akan datang,” katanya.-UTUSAN