Peragut ‘Ego Gear’ merah didakwa samun tiga wanita - Utusan Malaysia

Peragut ‘Ego Gear’ merah didakwa samun tiga wanita

ANGGOTA polis mengiringi tertuduh (tengah) untuk prosiding perbicaraan di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan hari ini-UTUSAN/ROSALWANI CHE SOH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang buruh yang tular selepas perbuatan meragut beg tangan dengan menunggang sebuah motosikal dirakam oleh televisyen litar tertutup (CCTV) baru-baru ini didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan samun dan cubaan samun melibatkan tiga wanita dalam kejadian berasingan di sini bulan lalu.

Tertuduh, Muhamad Firdaus Razali, 21, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Tengku Shahrizam Tuan Lah.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menyamun beg duit milik Intan Nurhani Zulkifli, 23, di Taman Bendahara, Pengkalan Chepa dekat sini kira-kira pukul 6 petang pada 10 Julai lalu.

Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa melakukan cubaan rompak terhadap seorang wanita, Durratun Nadhirah Jalaluddin, 22, di lorong belakang Universiti Malaysia Kelantan, Taman Bendahara, Pengkalan Chepa dekat sini kira-kira pukul 6.30 petang hari pada yang sama.

Sementara itu, berdasarkan pertuduhan ketiga, Muhamad Firdaus didakwa meragut beg tangan milik Nurul Sabarini Md. Jusoh, 39, di depan sebuah pasar raya di Lembah Sireh di sini kira-kira pukul 7.28 malam pada 13 Julai lalu.

Bagi pertuduhan cubaan samun, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda, jika sabit kesalahan.

Dua pertuduhan samun pula, lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun, dan boleh dikenakan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli manakala tertuduh diwakili peguam Muhamad Hanis Mohamed Shariff.

Terdahulu, Kamarul Hasyime tidak mencadangkan sebarang jaminan memandangkan kes itu melibatkan jenayah yang mengganggu ketenteraman awam.

Mahkamah kemudian menolak permohonan ikat jamin selain menetapkan 27 Ogos ini untuk sebutan semula.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN