Pemuda UMNO Perlis bidas kerajaan negeri, apa rasional kenaikan tarif air hingga RM1.60 - Utusan Malaysia

Pemuda UMNO Perlis bidas kerajaan negeri, apa rasional kenaikan tarif air hingga RM1.60

SAIFUL FARIDDIL JASMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pemuda UMNO negeri membidas kerajaan negeri dan mempersoal rasional kenaikan tarif air sebanyak RM1.60 di negeri ini yang dilihat terlalu tinggi sekali gus bakal membebankan rakyat.

Ketuanya, Saiful Fariddil Jasmi berkata, sebelum ini, Perlis juga pernah menaikan tarif air sebanyak 22 sen pada 1 Februari tahun lalu.

Beliau juga melihat kenaikan tersebut sebagai tidak sepatutnya kerana kualiti perkhidmatan air tiada perubahan dan masih sama dengan situasi gangguan bekalan yang sering berlaku.

“Tindakan menaikian tarif air tanpa penambahbaikan nyata adalah tidak adil kepada pengguna di negeri ini,” katanya di sini hari ini.

Kadar tarif air bagi pengguna domestik di hampir semua negeri di semenanjung Malaysia serta Wilayah Persekutuan Labuan akan dinaikkan bermula 1 Ogos ini, susulan pewartaan struktur baharu tarif air yang diumumkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Menerusi kadar baharu itu, Perlis menyaksikan kenaikan caj minimum daripada RM7.20 kepada RM8.80 dengan peningkatan sebanyak RM1.60.

SPAN sebelum ini memaklumkan bahawa pelaksanaan tarif baharu itu merupakan sebahagian daripada usaha menyelaras struktur tarif air yang lebih mampan, selain membolehkan operator air negeri menampung kos operasi dan penyelenggaraan sistem bekalan air secara lebih berkesan.

Saiful Fariddil berkata, kenaikan kadar tarif baharu itu dilihat akan turut memberi impak terhadap ekonomi penduduk tempatan.

“Keadaan ini boleh menjejaskan industri kecil, pertanian dan peniaga yang banyak bergantung pada bekalan air seterusnya menjejaskan ekonomi setempat,” katanya.

Dalam pada itu, Saiful Fariddil berkata, ketiadaan sebarang penjelasan terperinci berhubung penggunaan dana hasil kenaikan tarif air ini juga menimbulkan keraguan berhubung ketelusan serta keberkesanan pengurusan.

Katanya, rakyat negeri ini berhak mempersoalkan rasional kenaikan tarif air di Perlis dan menuntut supaya kadar itu dikaji semula.

“Sebaliknya, Syarikat Air Perlis (SAP) perlu mengatasi kadar air tak berhasil (NRW) kerana negeri ini mencatatkan antara kadar tertinggi dalam Malaysia iaitu sebanyak 62 peratus dan antara puncanya disebabkan oleh pelbagai faktor seperti paip bocor, kecurian air dan kesilapan dalam pengurusan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN