KUALA TERENGGANU: Pengusaha dan pemilik kedai mencuci kenderaan di daerah ini gusar dengan kenaikan tarif air 1 Februari ini akan memberi kesan kepada perniagaan mereka.
Seorang pengusaha mahu dikenali sebagai Zakaria, 39, berkata, kenaikan itu menyebabkan dia juga akan menaikkan khidmat cucian antara RM2 sehingga RM3 bergantung varian kenderaan.
Menurutnya, tindakan itu bagi menampung kos operasi dijangka meningkat bermula bulan depan ekoran kenaikan tarif air bagi kegunaan bukan domestik.
Malah dia mendakwa, beberapa pengusaha lain sudah mula merancang untuk menggunakan air bawah tanah atau air ‘boreng’ sebagai alternatif menghadapi kenaikan tersebut.
“Sebaik sahaja mendengar berita kenaikan tarif air, saya memang susah hati kerana kos operasi pasti bertambah memandangkan memang perniagaan ini menggunakan air dalam kuantiti yang banyak.
“Jadi saya terpaksa menaikkan harga daripada RM13 kepada RM15 bagi kereta kompak atau sedan manakala RM18 untuk kereta bersaiz besar berbanding RM15, bermula bulan depan.
“Apa yang merisaukan adalah sambutan pelanggan kerana pendapatan sudah terjejas dalam musim tengkujuh daripada 20 kepada hanya lima buah kereta sehari,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
CUCIAN
Bagi Shamsul Saleh, 44, sebagai pengusaha pusat cucian kenderaan dia mengakui terpaksa akur dengan kenaikan itu meskipun menjangkakan peningkatan kos operasi lebih 30 peratus.
katanya, apa yang diharapkan adalah kualiti perkhidmatan sumber air bertambah baik seiring dengan kenaikan yang dikenakan Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (SATU) selaku pengawal selia air di negeri itu.
“Walaupun kos operasi diramal meningkat, saya akur kerana tiada pilihan lain sambil berharap bil bulanan nanti tidak terlalu tinggi,” katanya yang sudah lapan tahun beroperasi di Gong Badak, Kuala Nerus.
Kelmarin, SATU mengumumkan kenaikan kadar tarif air di Terengganu iaitu kegunaan domestik bagi bacaan meter 0 hingga 20 meter padu akan mengalami kenaikan 16 sen satu meter padu daripada 42 sen kepada 58 sen.
Bacaan meter melebihi 20 meter padu hingga 35 meter padu pula melibatkan kenaikan 18 sen satu meter padu iaitu daripada 83 sen berbanding 65 sen sebelum ini.
Selain itu, penggunaan melebihi 35 meter padu pula, kadar baharu ialah RM1.08 bagi setiap meter padu berbanding RM1 sebelum ini.- UTUSAN










