KUALA LUMPUR: Cadangan Malaysia untuk meneroka penyambungan rel rentas sempadan dengan Thailand mendapat maklum balas positif setakat ini, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Susulan itu, beliau berkata, Kementerian Pengangkutan (MOT) kini sedang menyediakan Memorendum Persefahaman (MoU) berkaitan rel rentas sempadan antara Malaysia dan Thailand.
Katanya, MoU itu adalah sebagai satu usaha untuk memastikan cadangan rel rentas sempadan itu dapat direalisasikan kelak.
“Bagi tujuan ini, MOT mengambil inisiatif untuk berkomunikasi dengan pihak Thailand. Pada 2 Mei lalu, Timbalan Perdana Menteri Thailand bersetuju untuk bertemu dengan Menteri Pengangkutan Malaysia di Bangkok.
“MOT menyampaikan cadangan Malaysia untuk meneroka penyambungan rel ini dengan Thailand. Thailand dilihat memberi maklum balas positif,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN – Pasir Mas) berhubung sejauh mana perkembangan kajian sambungan projek Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) ke Rantau Panjang, Kelantan.
Loke berkata, MOT melihat ECRL perlu disambungkan ke Thailand dan bukan sekadar berakhir di Rantau Panjang bagi memastikan ia dapat memberi manfaat jangka panjang kepada negara selain menggerakkan ekonomi sempadan untuk penduduk setempat.
Beliau berkata Thailand dilihat memberi maklum balas positif terhadap cadangan ini dan sedang mendapatkan ‘way forward’ dan pendirian daripada kementerian pengangkutan negara itu.
Katanya, dua perkara utama perlu diperincikan sebelum cadangan itu dapat memasuki fasa kajian kebolehlaksanaan.
“Pertamanya adalah kesediaan kerajaan Thailand untuk menyokong sambungan ini termasuk aspek infrastruktur di bahagian Thailand.
“Perkara kedua yang perlu diperincikan adalah sama ada sambungan terbabit patut menggunakan infrastruktur ECRL atau Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB),” katanya.
Beliau berkata, MOT juga sudah mengadakan lawatan tapak ke Stesen KTMB Rantau Panjang, Jambatan Sungai Golok dan Stesen ECRL Kota Bharu bersama wakil dari kementerian pengangkutan Thailand bagi melihat sendiri keadaan semasa landasan, jambatan, stesen dan infrastruktur lain yang berkaitan di lokasi berkenaan. – UTUSAN










