‘Nyawa sentiasa di hujung tanduk’

‘Nyawa sentiasa di hujung tanduk’

SUPAAT Abd. Rahman mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Johor bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan ketika ditemui di rumahnya di Kampung Parit Marjunid Darat, Benut, Pontian, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Walaupun hanya ber­khidmat selama 18 tahun dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM), namun dalam tempoh itu, veteran tentera Supaat Abd. Rahman, 69, juga melalui pe­ngalaman pertempuran dengan pengganas komunis.

Katanya, setiap pertempuran itu masih segar dalam ingatan kerana nyawa sentiasa berada di hujung tanduk.

Katanya, namun Allah memanjangkan umurnya sehinggalah dia meninggalkan perkhid­matan pada usia 43 tahun.

Ujarnya, selepas menjalani la­tihan asas ketenteraan, dia bertugas di bawah Rejimen Askar Melayu Diraja (9 RAMD) dan ditempatkan di Kem Majidee, Johor Bahru pada tahun 1979.

Menurutnya, operasi perta­ma yang disertai adalah pertempuran di Batu 8, Baling, Kedah pada tahun 1981 apabila dia bersama satu platun seramai 33 orang dihantar bagi memerangi pengganas komunis di kawasan tersebut.

“Pertempuran bermula pada pukul 9 malam malam hingga subuh namun tiada sebarang kecederaan mahupun kematian di kalangan anggota namun tidak diketahui di pihak komunis,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Parit Marjunid, Benut di sini semalam.

Tambah Supaat, dalam pertempuran itu, dia dan anggota lain berjaga sepanjang malam dan sesekali melepas tembakan ke arah musuh.

“Kedatangan kami adalah kerana sebelum itu dikejutkan dengan tragedi berdarah sera­ngan hendap di Ulu Legong, Kedah apabila trak yang dinaiki oleh sembilan anggota tentera diserang komunis.

“Seramai tujuh orang anggota telah terbunuh dalam peristiwa tersebut, manakala dua lagi anggota telah tercedera,” ujarnya.

Katanya, dia juga terlibat dengan pertempuran dengan komunis di kawasan Gubir, Kedah dan di Gua Musang, Kelantan.

“Saya bersyukur Allah panjangkan umur saya, walaupun perang menentang pengganas komunis itu cukup mencabar,” katanya yang turut memberitahu salah seorang daripada enam anaknya juga menyertai 9 RAMD dan kini bertugas di Tawau, Sabah.

Setelah meninggalkan per­khidmatan sebagai anggota tentera, Supaat yang berkemahiran dalam bidang pertukangan kini mengambil upah membina dan mengubah suai rumah sebagai sumber pendapatan utamanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×