MELAKA: Kerajaan Negeri Melaka bakal menilai semula pewartaan kawasan larangan di perairan Pulau Besar selepas menerima keluhan berterusan daripada komuniti nelayan tempatan yang mendakwa ruang menangkap ikan mereka semakin sempit.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Akmal Saleh berkata, isu berkenaan telah dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) baru-baru ini dan persetujuan awal dicapai untuk mengkaji langkah nyah warta kawasan terbabit.

Menurut beliau, pewartaan kawasan larangan di sekitar Pulau Besar dikuatkuasakan sejak beberapa tahun lalu sebelum penambahan Taman Laut Melaka sebagai kawasan larangan baharu sehingga menyebabkan aktiviti nelayan terbatas dan berdepan tindakan penguatkuasaan sekiranya menceroboh kawasan larangan.
“Apabila kawasan larangan ditambah, ruang untuk nelayan menangkap ikan semakin kecil dan menjejaskan pendapatan mereka, jadi kita dengar keluhan ini dan kerajaan negeri telah bersetuju untuk menilai semula pewartaan kawasan larangan di Pulau Besar.
“Kita akan kekalkan kawasan Taman Laut sebagai kawasan larangan tetapi Pulau Besar akan dikaji untuk nyah warta, kita telah minta Pejabat Penasihat Undang-Undang (PUU) negeri membuat penelitian,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata, proses itu memerlukan penelitian lanjut termasuk rundingan dengan Jabatan Perikanan di peringkat Persekutuan bagi mendapatkan ulasan serta syor berkaitan.
“Sudah tentu ada prosedur yang perlu dilalui, tetapi ini adalah permulaan baik. Hasrat kerajaan jelas iaitu suara nelayan mesti diambil kira.
“Kita menjangkakan keputusan awal boleh dibuat selewat-lewatnya tahun ini, atau paling lewat tahun depan,” katanya lagi.
Langkah itu dijangka melegakan kira-kira ratusan nelayan pesisir pantai yang bergantung kepada perairan sekitar Pulau Besar sebagai sumber utama rezeki.
Selain Pulau Besar, kerajaan negeri turut mewartakan Pulau Undan, Nangka dan Dodol yang merangkumi seluas 26.97 kilometer persegi yang menempatkan lebih 260 spesies marin sebagai Taman Laut Negeri Melaka di bawah Seksyen 41 Akta Perikanan 1985 pada April 2023. – UTUSAN










