SUBANG JAYA: Kemajuan teknologi tidak akan menjamin peningkatan produktiviti sekiranya ia gagal dimanfaatkan sepenuhnya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, fenomena yang dikenali sebagai paradoks produktiviti itu membuktikan sesebuah negara boleh memiliki teknologi paling canggih, namun masih gagal memacu pertumbuhan ekonomi dan pembangunan sosial.
Beliau berkata, keadaan itu boleh berlaku sekiranya ekosistem inovasi, pembangunan tenaga kerja mahir dan pelaksanaan dasar tidak dibangunkan secara seimbang.
“Kita pernah lihat keadaan ini pada tahun 80-an dan 90-an apabila komputer diperkenalkan secara besar-besaran.
“Semua pejabat dilengkapi komputer dan pelbagai perisian moden, tetapi produktiviti tetap tidak meningkat kerana ia tidak dimanfaatkan dengan baik,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran CD:NXT di CelcomDigi Hub, di sini semalam.
Menurut Anwar, situasi sama boleh berlaku dalam konteks pembangunan kecerdasan buatan (AI), teknologi 5G dan pelbagai inovasi baharu sekiranya negara hanya teruja dengan kemampuan teknologi tanpa memahami kaedah terbaik untuk mengintegrasikannya ke dalam kehidupan rakyat.
“AI bukan sahaja tentang kehebatan teknologinya. Yang lebih penting adalah bagaimana teknologi ini digunakan untuk menyelesaikan masalah sebenar rakyat, memperkukuh ekonomi, meningkatkan produktiviti serta mengurangkan jurang digital.
“Tanpa perancangan rapi dan pengurusan berkesan, teknologi canggih sekalipun tidak membawa makna,” katanya.
Anwar berkata, kerajaan kini memberi fokus kepada pembangunan bakat tempatan bagi memastikan Malaysia bukan sekadar menjadi pengguna teknologi, sebaliknya turut menjadi pencipta dan penggerak inovasi.
“Anak-anak muda perlu dilatih dan diberikan ruang untuk menguasai bidang AI, keselamatan siber, kejuruteraan awan dan teknologi lain. Jika tidak, kita hanya akan menjadi penonton kepada kemajuan yang dicipta negara lain,” katanya.
Anwar turut menekankan keperluan menangani jurang digital yang masih ketara antara kawasan bandar dan luar bandar.
“Jaringan teknologi menyeluruh perlu diwujudkan. Kita tidak mahu hanya bandar-bandar besar yang menikmati manfaat teknologi, sedangkan kawasan pedalaman seperti Kapit, Jelalong dan Manik Urai terus ketinggalan,” katanya.
Oleh itu, Anwar berkata, kerjasama erat antara kerajaan, sektor swasta, universiti dan masyarakat amat penting dalam membina ekosistem inovasi yang kukuh dan mampan.
“Ekonomi digital dan transformasi teknologi memerlukan kolaborasi semua pihak.
“Hanya dengan cara ini kita dapat memastikan teknologi benar-benar memberi manfaat kepada rakyat, bukan sekadar menjadi simbol kemajuan yang tidak bermakna,” katanya. – UTUSAN










