Maklumat skandal bukan libatlan Ismail Sabri atau Khairy - Rafizi

Maklumat skandal bukan libatkan Ismail Sabri atau Khairy – Rafizi

rafizi
RAFIZI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Seri Rafizi Ramli menegaskan maklumat yang dirujuk beliau berhubung satu skandal yang sedang diteliti adalah tidak melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Sebaliknya, Ahli Parlimen Pandan itu berkata, ia adalah berkaitan bekas Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Farhash Wafa Salvador serta urus niaga syarikat-syarikatnya.

Katanya, terdapat pihak yang cuba mengaitkan kenyataannya dengan nama tokoh politik lain termasuk Ismail Sabri Yaakob dan Khairy.

“Selepas insiden serangan ke atas anak saya minggu lalu, pelbagai tuduhan cuba dikaitkan kononnya saya sedang menyiasat kes melibatkan Ismail Sabri dan Khairy. Kedua-dua tuduhan itu tidak benar.

“Maklumat sebenar yang diberikan kepada saya adalah mengenai Farhash Wafa Salvador dan urus niaga syarikat-syarikatnya, bukan berkaitan mana-mana tokoh politik lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bekas Menteri Ekonomi itu berkata, dakwaan yang dilemparkan sejak minggu lalu merupakan cubaan jahat untuk mengalih perhatian rakyat daripada isu sebenar.

“Saya lihat pelbagai berita tidak benar ini adalah satu usaha untuk mengalih perhatian. Lagi banyak cerita-cerita seperti ini timbul, lebih ramai yang akan membuat kesimpulan ia adalah usaha mengaburi siasatan,” katanya.

Mengulas mengenai serangan terhadap anaknya baru-baru ini, Rafizi mendedahkan ia disusuli dengan mesej ugutan yang mendesaknya berdiam diri.

“Jadi timbul persoalan siapa yang mahu saya diam, dan diam mengenai isu apa,” katanya.

Dalam pada itu, Rafizi turut menyatakan sokongan terhadap tindakan Ismail Sabri yang membuat laporan polis bagi membersihkan nama beliau daripada fitnah yang dikaitkan.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, serangan terhadap anak  Rafizi dipercayai mempunyai kaitan dengan pertemuannya bersama sekumpulan pemberi maklumat (whistleblower) mengenai satu skandal kewangan.

Rafizi berkata, tindakan tersebut juga merupakan amaran dan usaha untuk menutup mulutnya daripada terus membongkar perkara berkenaan.

Malah, ketika ditanya sama ada skandal itu mempunyai kaitan dengan mana-mana ahli politik, Rafizi menyerahkan kepada pihak polis untuk melakukan siasatan lanjut.

Minggu lalu, serangan berlaku ketika anak dan isteri Rafizi baru memasuki kereta untuk beredar dari sebuah pusat beli-belah di Putrajaya sebelum anaknya ditarik secara tiba-tiba serta dicucuk dengan jarum suntikan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 2 petang di kawasan mengambil dan menurunkan penumpang di pusat beli-belah berkenaan.

Sebelum ini, Farhash Wafa juga menafikan dakwaan yang mengaitkan dirinya dengan serangan terhadap anak Rafizi dan menyifatkan tuduhan tersebut sebagai ‘gila’.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×