Mahkamah Koroner tetap tarikh inkues Zara Qairina hari ini

Mahkamah Koroner tetap tarikh inkues Zara Qairina hari ini

ZARA QAIRINA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mahkamah Koroner Kota Kinabalu akan menetapkan tarikh inkues bagi menentukan sebab dan punca kematian pelajar Tingkatan Satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir hari ini.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar berkata, Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah telah memfailkan permohonan inkues di Mahkamah Koroner.

“Tarikh prosiding inkues bergantung kepada kelapangan semua pihak termasuk peguam dan Hakim Koroner yang terlibat nanti. 

“Pelbagai dokumen akan dikemukakan termasuk laporan bedah siasat yang dibuat ke atas Allahyarham.” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut katanya, bagi menjamin keadilan bukan sahaja dapat ditegakkan,  keadilan juga perlu dilihat sebagai  telah dilaksanakan.

Bagaimanapun, persediaan ba­gi tujuan inkues akan me­ngambil sedikit masa kerana ia melibatkan ramai saksi yang dipanggil bagi memberi keterangan di Mahkamah Koroner kelak.

“Namun Jabatan Peguam Negara akan pastikan semuanya dapat disediakan sesegera mungkin demi untuk mencari penyelesaian yang muktamad.

“Lebih-lebih lagi kes ini telah menarik perhatian masyarakat umum,” jelasnya.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, polis mengesahkan kertas siasatan Zara Qairina akan dirujuk semula kepada Pejabat Peguam Negara hari ini untuk nasihat dan arahan setelah tindakan siasatan lanjut dilaksanakan oleh  Pasukan Khas Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Katanya, setakat ini seramai 195 saksi telah dirakam percakapan di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah melibatkan saksi pelajar, guru, pegawai perubatan, warden, pengawal keselamatan, ibu bapa dan saksi lain.

“Siasatan polis memfokuskan kepada dua eleman iaitu siasatan  daripada aspek inkues dan siasatan daripada aspek perlakuan jenayah lain seperti buli serta penularan berita palsu,” katanya.

Katanya, polis memberi jaminan proses siasatan dilakukan secara menyeluruh.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN