NEW DELHI: Mahkamah Agung India mengarahkan siasatan terhadap dakwaan import haram haiwan dan salah laku kewangan di zoo persendirian Vantara, yang ditubuhkan oleh anak kepada kepada individu terkaya Asia.
Vantara, yang digelar sebagai ‘pusat menyelamat haiwan liar terbesar di dunia’, dikendalikan oleh Anant Ambani, anak kepada bilionair dan ketua konglomerat multinasional Reliance Industries.
Kemudahan yang terletak di negeri Gujarat, barat India itu menempatkan lebih 200 gajah, selain 50 beruang, 160 harimau, 200 singa, 250 harimau bintang dan 900 buaya, menurut Pihak Berkuasa Zoo Pusat India.
Aktivis hidupan liar mengkritik lokasi berkenaan kerana menempatkan spesies terancam di kawasan panas berhampiran kompleks penapisan minyak, tanpa rancangan untuk mengembalikan haiwan ke habitat liar.
Semalam, Mahkamah Agung India memaklumkan pihaknya menubuhkan panel yang diketuai hakim bersara untuk menyiasat dakwaan pemerolehan haiwan yang menyalahi undang-undang, terutama gajah, selain pelanggaran peraturan hidupan liar dan kegiatan pengubahan wang haram.
“Kami berpendapat adalah wajar untuk memanggil penilaian fakta secara bebas,” kata mahkamah.
Dalam hujah itu, pasukan siasatan juga akan menilai sama ada iklim panas di Gujarat tidak sesuai untuk haiwan, selain menyiasat aduan kemudahan tersebut diwujudkan semata-mata sebagai koleksi peribadi atau untuk tujuan bermegah.
Perintah itu dikeluarkan susulan petisyen berdasarkan laporan media serta aduan daripada pertubuhan hidupan liar.
Mac lalu, akhbar Jerman Suddeutsche Zeitung melaporkan Vantara mengimport kira-kira 39,000 haiwan pada 2024, termasuk dari Republik Demokratik Congo, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Venezuela.
Puluhan gajah di fasiliti itu turut dibawa menggunakan trak khas merentasi ribuan kilometer dari seluruh India, menurut pihak zoo.
Dalam kenyataan pada Selasa, Vantara memaklumkan sedia memberi kerjasama penuh kepada pasukan penyiasat dan komited dengan ketelusan serta pematuhan undang-undang.- AFP










