SEGAMAT: Satu letupan seperti benda jatuh dari langit kedengaran sebelum satu gegaran gempa bumi dirasai penduduk di daerah ini awal pagi tadi.
Menurut Firdaus Zazali, 27, dia terdengar satu bunyi letupan kuat seperti benda jatuh dari langit dan merasa terkejut dengan kejadian itu sekitar pukul 6 pagi tadi.
“Sewaktu kejadian, saya baru selepas menunaikan solat Subuh dan bersiap untuk pergi kerja di Kampung Lubok Batu.
“Tiba-tiba saya terkejut bunyi letupan kuat seperti bunyi bom dan mercun bola. Saya ingat ada rumah terbakar dan meletup.
“Tidak lama selepas itu, saya rasa ada gegaran beberapa saat dan ia hilang. Waktu itu tidak terfikir ia adalah gempa bumi.
“Saya keluar ke halaman rumah kerana saya sangka berlaku letupan dari kebakaran di kawasan taman perumahan saya tetapi tidak apa-apa yang berlaku di luar rumah,” katanya ketika ditemui di Taman Laksamana hari ini.
Sememangnya menjadi rutin Firdaus untuk ke tempat kerjanya sebagai pekerja kedai makan bersiap awal pagi selepas selesai Subuh.
Namun, pengalamannya pagi ini sangat berbeza dan pertama baginya merasa gegaran gempa bumi walaupun dilaporkan gegaran itu lemah.
“Ini pertama kali saya rasakan gegaran gempa bumi dan tidak sangka tempat yang tidak pernah gempa bumi seperti di Segamat daerah kecil ini tetapi kami semua merasakannya pagi ini.
“Mula-mula rasa gempa itu saya panik juga tetapi gegaran itu hanya beberapa saat dan sekali sahaja.
“Selepas itu, saya lihat di sosial media penduduk lain juga berkongsi rasa gegaran yang sama. Jadi ia menguatkan lagi kesahihan yang ia adalah gempa bumi.
“Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) juga telah mengesahkan kejadian dan akan salurkan sebarang maklumat gempa susulan dari masa ke semasa,” kongsinya.
Ujar Firdaus, pengalaman merasai gegaran gempa bumi ini tidak akan dilupakan sehingga bila-bila.
Sementara itu, bagi Tan Boon Eng, 40, dia juga merasa terkejut dengan kejadian gempa bumi pagi ini di Segamat apabila dia turut bergegas keluar rumah selepas gegaran.
“Saya selalu bangun awal pagi dan bersenam di luar rumah serta mengambil udara segar waktu pagi.
“Tiba-tiba saya rasa gegaran kuat seperti rumah mahu roboh. Saya takut dan keluar rumah untuk lihat apa terjadi.
“Tetapi tiada apa berlaku selepas itu. Gegaran sudah berhenti. Ia jadi sekejap sahaja.
“Kemudian, rakan-rakan hantar mesej di whatsapp beritahu mereka juga rasa gegaran dan mengatakan ia adalah gempa bumi,”ujarnya. – UTUSAN










