Rumah Zaleha Hamid meriah dengan Jalur Gemilang

Lahir 31 Ogos, rumah Zaleha Hamid meriah dengan Jalur Gemilang

ZALEHA Abdul Hamid (empat dari kanan) bergambar bersama ahli keluarganya di Rumah Awam Kos Rendah Binjai Kemaman, Terengganu. – UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Sejak 30 tahun lalu, rumah seorang warga emas di Rumah Awam Kos Rendah Binjai, di sini dihiasi dengan Jalur Gemilang sempena sambutan bulan kebangsaan.

Lebih manis, hiasan itu dibuat anak-anak dan cucu Zaleha Abdul Hamid, 71, sebagai hadiah hari lahirnya yang berkongsi tarikh dengan kemerdekaan negara iaitu 31 Ogos.
Zaleha berkata, dia berbangga lahir pada 31 Ogos yang menjadi tarikh keramat diingati semua rakyat Malaysia.

“Sebelum anak-anak besar, kami hanya sambut hari lahir saya secara kecil-kecilan namun selepas anak-anak dewasa dan mendirikan rumah tangga, mereka menghiasi rumah kami dengan Jalur Gemilang dan pelbagai replika. Bukan hanya nak sambut bulan kebangsaan tetapi sebagai hadiah hari lahir saya.

“Saya terharu dan bangga setiap kali melihat Jalur Gemilang berkibar sebab orang-orang dahulu memang rasa susah untuk mencapai kemerdekaan,” katanya di sini, semalam.

Sementara itu anak sulung­nya, Norhamiza Mohd. Nor, 50, berkata, setiap tahun dia dan adik beradiknya membelanjakan kira-kira RM300 bagi membeli Jalur Gemilang dan alatan lain termasuk cat dan poster untuk menghias rumah ibunya.

“Biasanya awal bulan Ogos kami bersama-sama berbincang mencurahkan idea untuk menghias rumah ibu dan kami bergotong-royong menghias rumah. Di kampung kami ada pertandingan hias rumah dan kami pernah mendapat naib johan.

“Walaupun tiada pertan­dingan, kami tetap hias rumah dan tahun ini kami bina replika Menara Berkembar Petronas (dan Menara Kuala Lumpur se­tinggi dua meter yang menjadi kebanggaan rakyat di negara ini,” katanya.

Norhamiza berkata, mereka turut menggunakan barangan kitar semula seperti botol, kotak, getah dan tali untuk menghasilkan replika itu selain turut menggantung gambar poster 10 Perdana Menteri Malaysia.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×