KWSP: Golongan muda tolak pencen bulanan

KWSP: Golongan muda tolak pencen bulanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Orang muda me­nolak cadangan skim baya­ran pencen secara bulanan bagi ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Sebaliknya, rata-rata golo­ngan muda yang ditemui Utusan Malaysia mahu skim pengeluaran wang pencen KWSP sedia ada dikekalkan, dengan alasan ia memberi mereka kebebasan untuk merancang kewangan.

Malah, mereka menyifatkan sebarang perubahan kepada skim pengeluaran wang pencen KWSP sedia ada, menyekat hak pencarum.

Seorang pekerja swasta, Mohamad Aiman Haikal Rosli, 24, berkata, pencarum bekerja keras bertahun-tahun membuat caruman tanpa gagal, justeru berhak menggunakannya mengikut ke­perluan sendiri.

Katanya, penetapan pengeluaran secara bulanan seolah-olah memperkecilkan kemampuan pencarum menguruskan kewangan masing-masing dan menyekat kebebasan membuat keputusan.

“Ini bukan bantuan kerajaan, ini hasil titik peluh pencarum. Pencarum wajar diberi kepercayaan untuk mengurus kewa­ngan sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bagi ahli farmasi, Noorfatin Atika Zahid, 28, pula, pengeluaran wang persaraan sekali gus memberi fleksibiliti kepada pencarum merancang penggunaan wang dalam jumlah besar.

Dia mengakui pengeluaran bulanan mempunyai kelebihan kestabilan tunai, namun ia membataskan kemampuan pencarum memenuhi keperluan penting yang memerlukan jumlah besar selepas bersara.

“Kalau keluar bulanan, ibarat meminjam duit sendiri. Kalau keluar sekali gus, pencarum boleh rancang sendiri,” katanya.

Sementara itu, lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Hazim Zulhusny Zulkefli, 18, berkata pencarum berhak menguruskan kewangan mereka tanpa kawalan kerajaan selepas bersara.

Menurutnya, wang KWSP adalah hasil usaha rakyat bertahun-tahun dan wajar diuruskan sendiri mengikut perancangan peribadi masing-masing.

“Kerajaan perlu bertimbang rasa, ini bukan hasil setahun dua tetapi hasil usaha rakyat membanting tulang berbelas dan berpuluh tahun,” katanya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, KWSP mengambil maklum pertimbangan kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk memperkenalkan skim bayaran pencen secara bulanan bagi ahlinya.

KWSP memaklumkan, cadangan itu sedang diteliti dan sebarang keputusan hanya akan dibuat selepas sesi libat urus secara menyeluruh diadakan dengan pihak berkepentingan.

Dalam pada itu, jurutera, Muhammad Zulhilmi Aidil, 28, berkata, caruman KWSP merupakan kebebasan pencarum untuk membuat keputusan memandangkan keperluan setiap individu adalah berbeza selepas persaraan.

“Sebagai pencarum, kami rasa sedikit terkilan kerana itu merupakan wang usaha titik peluh kami sendiri. Kerajaan perlu memahami bahawa setiap rakyat ada perancangan mereka tersendiri di hari tua nanti,” katanya.

Bagi Muhammad Tarhamiz Hairul, 27, seorang jurutera, dia lebih memilih pengeluaran sekali gus kerana ingin membuka perniagaan kecil-kecilan bagi mengisi masa lapang selepas bersara.

“Adalah tidak wajar untuk kerajaan mengawal keluar masuk duit persaraan saya kerana sudah impian saya untuk membuka perniagaan peruncitan.

“Untung sedikit pun tidak mengapa, asalkan bermanfaat dan memberi pulangan jangka panjang kerana itu adalah kepuasan buat diri saya,” katanya.

Dalam pada itu, Aiza Afnan Samuri, 25, pekerja swasta, mencadangkan pengeluaran persaraan secara bersasar bagi membantu golongan yang bermasalah dalam mengurus kewangan mereka menjelang persaraan.

“Pengeluaran persaraan dilihat boleh membantu golongan sedemikian, terutama mereka yang disenarai hitam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN